Sayembara Deklamasi Puisi: USM Raikan Ulang Tahun Ke-50 Hubungan Diplomatik Malaysia-China
Sayembara Deklamasi Puisi Piala YB Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Sabtu.
Sayembara ini antara program bersempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun ini.
Pertandingan mendeklamasikan puisi-puisi hasil karya Awang Sariyan ini telah melibatkan penyertaan 37 orang pelajar institut pengajian tinggi (IPT) dari kedua-dua negara.
Pada pertandingan kali ini, seramai 14 orang peserta bertanding bagi kategori China manakala 23 orang pula bertanding bagi kategori Malaysia.
Untuk kategori China, juara sayembara deklamasi puisi disandang oleh Huang Yu dari Universiti Minzu Guangxi China, manakala naib juara jatuh kepada Tang Xinyi dari Universiti Komunikasi China, dan ketiga, Zhang Siyu dari Institut Chengdu China.
Bagi kategori Malaysia pula, juara menjadi milik Akmal Hasif Mohamad Sukri dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), naib juara disandang oleh Elvienie Petrus dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan ketiga milik Muhammad Faris Fiqran Muhamad dari Multimedia University (MMU).
Yang turut hadir adalah penaja utama Sayembara iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan isteri Datin Seri Haryani Haron, Konsul Republik Rakyat China di Pulau Pinang, Zheng Fang.