Kedamaian Merupakan Asas Penting Hubungan China-AS

2024-01-08 12:05:57  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden saling mengutus perutusan tahniah pada 1 Januari lalu yang menandakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. Ahli Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China yang juga Menteri Luar, Wang Yi, menghadiri majlis resepsi untuk memperingati ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik China-AS di Beijing pada Jumaat.

Dalam ucapannya, Wang Yi berkata bahawa perkembangan hubungan China-AS telah membawa tiga ilham iaitu kedamaian merupakan asas paling penting bagi hubungan China-AS, kerjasama adalah pilihan yang paling tepat dalam pergaulan kedua-dua negara dan sama menang adalah ciri paling penting dalam pertukaran China-AS.  

Wang Yi menegaskan bahawa menggalakkan secara komprehensif kebangkitan nusa dan bangsa China melalui modenisasi ala China bermakna China akan memikul tanggungjawab yang lebih besar dan memainkan peranan yang lebih penting demi kedamaian dan pembangunan dunia. China tidak berniat untuk menggantikan atau memintas mana-mana negara apatah lagi mengamalkan hegemonisme, dan hanya bersedia untuk membina hubungan China-AS yang stabil, sihat dan mampan berdasarkan sikap saling menghormati.

China berharap pihak AS mengamalkan sikap kesaksamaan dan inklusif, menghormati pilihan rakyat China, laluan pembangunan China, menghormati kepentingan teras China, dan usaha pertahanan China terhadap kedaulatan dan keutuhan wilayah negara, selain menegakkan prinsip wujud bersama secara damai. Paling penting, mengawal perselisihan secara berkesan.

Kedua-dua negara diharap meneruskan kerjasama yang sama menang dan memangkin agenda yang saling menguntungkan.

Kuasa Usaha sementara Kedutaan Besar AS di China, David Meale pada majlis resepsi itu juga mengucapkan tahniah terhadap ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik AS-China, dan menyatakan kesediaan pihaknya untuk melaksanakan konsensus yang dicapai oleh pemimpin kedua-dua negara bagi memacu pembangunan mantap hubungan bilateral.

Turut hadir, lebih 350 tokoh dari pelbagai  lapisan masyarakat China dan AS.