Raja Jordan Gesa AS Galak Gencatan Senjata di Gaza

2024-01-08 12:07:21  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) patut memainkan peranan berkesan dalam menggalakkan gencatan senjata dicapai di Gaza serta-merta, melindungi rakyat jelata dan memastikan bantuan kemanusiaan serta perubatan yang mencukupi untuk kawasan terbabit.

Demikian titah Raja Jordan Raja Abdullah II ketika mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Amman pada Ahad.

Menurut baginda, konflik yang berterusan di Genting Gaza akan mengakibatkan malapetaka besar.

Raja Abdullah turut menekankan perlunya menyelesaikan isu Palestin secara adil dan mewujudkan kedamaian menyeluruh berasaskan 'penyelesaian dua negara'. Jika tidak, adalah mustahil untuk mencapai kestabilan di rantau berkenaan.

Baginda membantah sekeras-kerasnya pemindahan secara paksaan penduduk Palestin dari Tebing Barat dan Gaza dengan menyifatkan perbuatan sedemikian melanggar undang-undang antarabangsa.