Pemimpin Mesir, Palestin Bincang Konflik di Gaza
Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan rakan sejawatannya dari Palestin Mahmoud Abbas mengadakan perbincangan mengenai situasi semasa terutamanya konflik berterusan di Semenanjung Gaza, di Kaherah pada Isnin.
Pejabat Presiden Mesir dalam kenyataan memaklumkan, dua pemimpin itu menekankan pentingnya peranan Pihak Berkuasa Palestin (PA) serta keperluan mengambil semua langkah yang wajar untuk menyokong PA memainkan fungsinya.
Mereka senada bahawa isu Palestin memerlukan masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab dari segi sejarah, politik dan kemanusiaan ke arah penyelesaian yang adil dan tuntas, termasuk merealisasi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka berdasarkan sempadan 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu kota.
Sisi dan Abbas menolak sebarang percubaan yang bertujuan untuk mencemari perjuangan Palestin atau memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka.