Xinjiang Catat 265 Juta Kedatangan Pelancong, Cipta Rekod Tertinggi Sejarah

2024-01-10 13:02:06  CRI
Share with:

Menurut maklumat dari Jabatan Kebudayaan dan Pelancongan Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang baru-baru ini,  pada tahun 2023, Xinjiang telah menyaksikan peningkatan pelancong dari dalam dan luar negeri sebanyak 117.04% tahun ke tahun atau 265 juta orang, iaitu satu rekod tertinggi dalam sejarah. Jumlah pendapatan pelancongan pula mencatat RMB296.7 bilion (RM192.4 bilion), melambung 226.93% tahun ke tahun. 

Pada tahun 2023, pembinaan dan penjenamaan produk pelancongan berkualiti tinggi yang melibatkan blok untuk persantaian pelancongan peringkat kebangsaan, pangkalan demonstrasi pelancongan perindustrian nasional, dan zon demonstrasi kebangsaan untuk pembangunan bersepadu industri kebudayaan dan industri pelancongan giat diperkasa di Xinjiang.

Pakej pelancongan yang baharu seperti melancong & memandu, pelancongan ais dan salji, dan pelancongan tempahan khas mendapat sambutan hangat, mencerminkan pembangunan bersepadu kebudayaan-pelancongan mempunyai kedinamikan dan potensi yang besar, sekali gus merancakkan landskap pelancongan sepanjang tahun yang bercirikan "tempoh musim puncak pelancongan berpanjangan, tempoh luar musim kekal sibuk".

Industri pelancongan yang berkembang pesat menjadi pemangkin kepada perkembangan pelbagai industri lain seperti perhotelan, inap desa dan sewa kereta, khususnya pelaburan infrastruktur yang bertunjangkan perhotelan menyaksikan peningkatan yang ketara.