China, Maldives Tingkatkan Hubungan Bilateral

2024-01-11 11:58:12  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan dengan Presiden Republik Maldives, Mohamed Muizzu di Beijing pada Rabu. Pemimpin kedua-dua negara mengumumkan peningkatan hubungan dua hala kepada perkongsian strategik yang komprehensif.

Presiden Xi menyatakan bahawa peningkatan hubungan bilateral bersesuaian dengan keperluan perkembangan hubungan dua hala dan juga memenuhi hasrat rakyat kedua-dua pihak. China bersedia berusaha bersama dengan Maldives untuk terus memperkukuh komunikasi dan koordinasi dalam pelbagai bidang bagi membina komuniti berkongsi nasib China-Maldives.   

Xi menegaskan bahawa China menghormati dan menyokong Maldives dalam meneroka laluan pembangunan mengikut acuan sendiri, menyokong dengan tegas Maldives dalam usaha memelihara kedaulatan dan kemerdekaan negara, keutuhan wilayah dan maruah bangsa. China bersedia bertukar-tukar pengalaman berhubung tadbir urus dengan Maldives, memperkasakan koordinasi dalam pelaksanaan strategi pembangunan masing-masing, menggalakkan pembinaan bersama yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan, dan mewujudkan penanda aras baharu bagi persahabatan China-Maldives.

Xi menambah, kedua-dua pihak perlu mengukuhkan kerjasama dalam bidang yang melibatkan ekonomi, perdagangan dan pelaburan, taman pertanian, ekonomi biru, hijau dan digital, meneroka kerjasama dalam perlindungan ekologi dan alam sekitar marin, serta menrancakkan pertukaran keanggotaan dalam bidang sosiobudaya.

Beliau berkata, China menyokong lebih ramai pelajar Maldivian untuk melanjutkan pengajian di China dan menggalakkan penambahan kekerapan penerbangan terus antara kedua-dua negara.

Presiden Xi menyatakan, China dan Maldives sama-sama merupakan negara membangun dan berkongsi pandangan dan pendirian yang hampir sama mengenai hal ehwal antarabangsa dan serantau. Kedua-dua pihak perlu mengukuhkan komunikasi dan kerjasama pelbagai hala, memelihara amalan multilateralisme yang sebenar dan kepentingan bersama negara-negara membangun, dan bekerjasama menggalakkan pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan untuk mewujudkan dunia yang lebih damai, selamat dan makmur.

Muizzu pula berkata, pihaknya berpegang kepada dasar Satu China dan berharap mengambil peluang daripada perkongsian strategik komprehensif yang baru dijalinkan dengan China untuk meneroka saluran baharu kerjasama dua hala, menyuntik konotasi baharu kepada hubungan bilateral, mendorong kerjasama Jalur dan Jalan berkembang ke arah yang berkualiti tinggi, dan menggalakkan perkembangan hubungan Maldives-China demi kesejahteraan rakyat kedua-dua pihak.