Xi Ucap Tahniah Hasina Kekal PM Bangladesh

2024-01-11 12:10:26  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengutus kawat tahniah kepada Sheikh Hasina yang dipilih semula sebagai Perdana Menteri Bangladesh.

Xi menyatakan China dan Bangladesh merupakan jiran bersahabat secara tradisinya.

Sejak terjalinnya hubungan diplomatik 49 tahun lalu, kedua-dua negara sentiasa saling menghormati, melayan satu sama lain secara sama rata dan berkolaborasi demi situasi menang-menang.

Kata beliau, China dan Bangladesh saling menyokong dalam isu-isu melibatkan kepentingan teras satu sama lain dan berganding bahu ke arah mewujudkan pembangunan hingga membawa manfaat besar kepada rakyat.

Xi berharap dua pihak bersama-sama melaksanakan konsensus penting yang dicapai sebelum ini, memperdalam kesalingpercayaan politik, menyemarakkan persahabatan tradisional dan mempertingkat penyelarasan strategi pembangunan.

Beliau juga mahu melihat dua negara bersinergi menjayakan pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, sekali gus menggerakkan perkongsian kerjasama strategik ke tahap baharu.