Automobil China Pikat Hati Pengguna Dunia
Sebuah kapal pengangkut gergasi yang berlepas dari pelabuhan Yantai, provinsi Shandong baru-baru ini mencuri perhatian seluruh dunia.
Ia merupakan kapal seumpama pertama dibangunkan kilang domestik khusus untuk mengangkut automobil buatan China yang dieksport.
Selepas dimuatkan 7,000 unit kenderaan di Shenzhen, kapal itu akan belayar ke Eropah bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Automobil buatan China kini dieksport ke lebih 200 buah negara dan wilayah.
Menurut data terkini Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), jumlah pengeluaran dan jualan kenderaan China masing-masing buat pertama kalinya melepasi 30 juta pada 2023.
Antaranya kenderaan yang dieksport berjumlah 4.91 juta, dan 1.203 juta daripadanya adalah kenderaan tenaga baharu (NEV).
Pakar menganalisis bahawa automobil China semakin mendapat tempat di hati pengguna global kerana prestasi dan kualitinya terus dinaik taraf.
Terutamanya, pemain industri automobil domestik giat merebut peluang daripada perkembangan sektor NEV melalui inovasi teknologi dan terus mengembangkan sayap mereka di luar negara.
Semakin banyak kenderaan buatan China yang berkualiti dengan harga berpatutan berjaya memasuki pasaran asing, sekali gus membantu memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.
Contohnya, Geely Holding Group yang menjadi pemegang saham Proton berjaya membantu jenama kereta Malaysia itu kembali meraih keuntungan dalam masa hanya dua tahun sahaja.
Pada 2023, Proton mencatatkan pertambahan jualan kenderaan sebanyak 9.3 peratus dari tahun ke tahun.
Prestasi itu merupakan yang terbaik sejak 2012, sekali gus meletakkan jenama Proton kekal di ranking jualan kedua di pasaran Malaysia selama lima tahun berturut-turut.