Dari Mana Datangnya Sumber Dinamika Dagangan Luar China

2024-01-13 15:24:23  CRI
Share with:

'Lepasi jangkaan' menjadi kata kunci yang banyak digunakan media asing ketika melaporkan prestasi perdagangan luar China.

Menurut statistik Pentadbiran Am Kastam China (GACC), jumlah keseluruhan import dan eksport China merekodkan 41.76 trilion yuan (RM27 trilion) pada 2023, naik 0.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. 

Prestasi itu dijangka membolehkan China mengekalkan status sebagai negara pengeksport barangan terbesar di dunia selama tujuh tahun berturut-turut.

Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dalam laporannya mengunjurkan perdagangan barangan global menurun sebanyak 7.5 peratus pada tahun lepas. 

Dalam konteks ini, prestasi import dan eksport China yang lebih baik daripada jangkaan dianggap penting bagi memacu perdagangan dan ekonomi global.

Daripada pengeksportan yang bernilai 23.77 trilion yuan (RM15.4 trilion) pada tahun lepas, produk pembuatan mencatat 23.51 trilion yuan (RM15.24 trilion). 

Dalam pada itu, pengeksportan kereta elektrik, bateri litium dan sel suria julung kalinya melepasi setrilion yuan (RM650 bilion), sekali gus menyaksikan peningkatan pada kadar hampir 30 peratus.

Walaupun pengimportan negara ini menurun sedikit dari segi nilainya susulan penurunan harga barangan, namun kuantiti import telah menokok 2.9 peratus.

Selain bahan mentah seperti minyak mentah, gas asli dan bijih, pengimportan China turut meliputi produk yang dihasilkan pelbagai sektor seperti makanan istimewa dan alatan rumah digital. Ia turut mencerminkan aktiviti pengeluaran yang terus pulih serta permintaan pasaran yang besar.

Pemerkasaan pengimportan China akan membawa lebih banyak peluang yang dikongsi semua.

Dari mana datangnya sumber kedinamikan perdagangan luar China? 

Mutakhir ini, sesetengah institusi global termasuk Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China pada 2023. 

Di samping itu, China dijangka kekal sebagai pemacu terbesar ekonomi dunia dengan menyumbang lebih 30 peratus kepada pertumbuhan ekonomi global. 

Ekonomi China yang terus pulih dengan mampan turut meningkatkan keperluan pengimportan, di samping menggalakkan pengeksportan.

Selain itu, peluang daripada keterbukaan bertaraf tinggi juga akan memperluas pasaran dan bidang baharu dalam kerjasama perdagangan luar.

Pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) secara berkualiti tinggi, perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang dilaksanakan genap dua tahun serta rundingan berhubung Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 sudah tentu menjanjikan lebih banyak manfaat dan keuntungan buat syarikat seluruh dunia.