Xi Bertemu PM Belgium

2024-01-13 14:20:16  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping bertemu Perdana Menteri Belgium Alexander De Croo di Beijing pada Jumaat.

Xi berkata China menghargai pendirian PM De Croo yang menolak amalan 'cantas hubungan', dan mengalu-alukan syarikat Belgium datang melabur di China.

China sudi menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif, kata Xi sambil menyatakan harapannya agar Belgium dapat mencipta suasana perniagaan yang adil, telus, tanpa diskriminasi kepada syarikat China.

Menurut Xi, kedua-dua pihak boleh memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk memperluas kerjasama dalam bidang tradisional seperti pengangkutan, logistik dan biofarmaseutikal, di samping meneroka titik pertumbuhan baharu menerusi kolaborasi membabitkan pembangunan hijau, ekonomi digital dan lain-lain.

Beliau turut menambah, perlunya meningkatkan interaksi dan dialog sesama jabatan kerajaan, badan perundangan serta di peringkat setempat, selain terus merancakkan aktiviti pelancongan dan pertukaran pelajar, melancarkan aktiviti budaya berskala besar dan menjalankan penyelidikan mengenai perlindungan panda gergasi.

Xi menegaskan, China dan Eropah perlu membina lebih banyak 'jambatan' tatkala menghadapi situasi antarabangsa tidak menentu.

Kedua-dua pihak harus bekerjasama lebih rapat untuk menggalakkan multipolariti global yang sama rata dan teratur serta globalisasi ekonomi yang memberi manfaat kepada semua, sekali gus menyumbang kepada keamanan dan kemakmuran dunia.