Wang Yi Ulangi Pendirian Tegas China terhadap Situasi Taiwan

2024-01-15 11:52:35  cri
Share with:

Pilihan raya kawasan Taiwan merupakan hal ehwal daerah di wilayah China. Hanya terdapat satu China di dunia ini, Taiwan sebahagian wilayah China, dan konsensus masyarakat antarabangsa tentang Satu China kekal wujud tanpa mengira pihak mana pun menang dalam pilihan raya Taiwan baru-baru ini.

Demikian dinyatakan Menteri Luar China, Wang Yi dalam sidang akhbar selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya dari Mesir, Sameh Hassan Shoukry semalam.

Menurut Wang, China, Amerika Syarikat (AS) dan Britain pernah menandatangani Deklarasi Kaherah yang menetapkan "Taiwan sebagai wilayah China yang dirampas Jepun dipulangkan kepada China". Selepas itu, fasal ke-8 dalam Pengumuman Potsdam yang dikeluarkan bersama China, AS, Britain dan Kesatuan Soviet pula berbunyi bahawa  Deklarasi Kaherah wajib dilaksanakan. Jepun kemudian menerima pengumuman tersebut dan menyerah diri tanpa syarat. Siri dokumen yang berkuatkuasa sebagai undang-undang antarabangsa itu merupakan komponen dalam tata tertib antarabangsa pasca Perang Dunia Kedua, malah menjadi asas undang-undang dan rujukan sejarah yang membuktikan Taiwan adalah sebahagian wilayah China yang tidak boleh dipisahkan.

Wang yang berada dalam jadual lawatan di Mesir berkata, "kemerdekaan Taiwan" boleh membawa ancaman besar kepada manfaat rakyat Taiwan, menjadikan hak dan kepentingan asas bangsa China terjejas teruk dan sama juga keamanan dan kestabilan rantau Selat Taiwan. China pasti akan merealisasikan penyatuan tanah air akhirnya, dan Taiwan juga pasti akan pulang ke pangkuan ibu pertiwi. China yakin masyarakat antarabangsa akan terus menyokong rakyat China dalam menentang kegiatan pembelot yang merancangkan "kemerdekaan Taiwan" dan memperjuangkan matlamat penyatuan semula tanah air berdasarkan prinsip Satu China.