Kenyataan Bersama China, Liga Arab Seru Gencatan Senjata Disegerakan di Gaza

2024-01-15 14:31:17  CRI
Share with:

Kementerian Luar China dan Sekretariat Liga Negara-negara Arab mencapai kenyataan bersama mengenai konflik Palestin-Israel pada Ahad.

Menurut kenyataan itu, Menteri Luar Wang Yi mengadakan rundingan dengan Setiausaha Agung Liga Arab Ahmed Aboul Gheit di Kaherah, pada Ahad. Kedua-dua pihak bertukar-tukar pendapat secara mendalam tentang konflik Palestin-Israel dan mencapai konsensus seperti berikut.

Pertama, gencatan senjata perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan segera, manakala resolusi Majlis Keselamatan dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi di Gaza dan konflik tersebut perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan. Sementara itu, pihak-pihak berkaitan perlu sedaya upaya melindungi rakyat jelata dan menghentikan sebarang tindakan kekerasan yang menyasarkan rakyat jelata serta membelakangi undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Selain itu, China dan Liga Arab menentang pemindahan secara paksa penduduk Palestin, menyeru pembebasan tahanan dengan secepat mungkin, membina makanisme koordinasi kemanusiaan dengan secepat mungkin, dan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui mekanisme yang berterusan, pantas, selamat dan tanpa halangan.

Kedua, masyarakat antarabangsa perlu bertindak aktif untuk meredakan ketegangan situasi dan mewujudkan gencatan senjata.

Ketiga, sebarang pengaturan mengenai masa depan Palestin perlu selari dengan prinsip “rakyat Palestin mentadbirkan Palestin”.

Keempat, "Penyelesaian Dua Negara" adalah asas tentang pengaturan masa depan rakyat Palestin di Gaza, Tebing Barat (termasuk Baitulmuqaddis Timur) bagi mengangkat hak rakyat Palestin dalam menentukan nasib sendiri dan hak membina negara merdeka.

Kelima, masyarakat antarabangsa perlu berusaha dengan bersungguh-sungguh demi penyelesaian isu Palestin secara komprehensif, adil dan kekal. Menyokong Palestin menjadi negara anggota rasmi PBB, menyokong resolusi berkenaan PBB, prinsip “pertukaran tanah untuk kedamaian” dan “inisiatif kedamaian Arab” serta menubuhkan negara Palestin merdeka yang berasaskan garis sempadan pada 1967, beribu negara di Baitulmuqaddis Timur dan mempunyai kedaulatan sepenuhnya.

Keenam, China dan Liga Arab memberikan perhatian tinggi terhadap situasi di Laut Merah yang semakin meruncing mutakhir ini. Masyarakat antarabangsa perlu menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah Yaman, di samping menjamin keselamatan laluan perkapalan komersial di perairan tersebut. Selain itu, pihak-pihak berkaitan perlu mencegah risiko keselamatan laluan perkapalan kerana ini keutamaan yang berkaitan dengan kedamaian dan keselamatan antarabangsa.

Ketujuh, China dan Liga Arab menyeru agar persidangan kedamaian antarabangsa perlu diadakan dengan secepat mungkin untuk mencerminkan kewibawaan antarabangsa dan mendorong penyusunan peta garisan yang mempunyai kuasa mengikat, melaksanakan “Penyelesaian Dua Negara” menurut jadual, dan mendorong pemulihan rundingan damai Palestin-Israel, agar mewujudkan wujud bersama secara damai Palestin dan Israel, dan membawa keselamatan dan kedamaian kepada semua rakyat di kawasan itu.

Dan kelapan, China menghargai peranan penting Liga Arab dalam meredakan ketegangan situasi serantau dan mengelakkan berlakunya krisis kemanusiaan menyeluruh di Gaza. Sementara itu, Liga Arab menyanjung tinggi usaha China dalam meredakan konflik di Gaza dan mewujudkan gencatan senjata dan menyokong rakyat Palestin serta “dokumen pendirian China mengenai penyelesaian konflik Palestin-Israel”. China dan Liga Arab komited meneruskan komunikasi dan penyelarasan, berusaha secara berterusan untuk mewujudkan gencatan senjata di Gaza, mengakhiri kesengsaraan yang melanda lebih dua juta rakyat Palestin, mengakhiri pendudukan Israel serta mendorong penyelesaian isu Palestin secara komprehensif, adil dan kekal.