Lonjakan Hubungan China-Maldives akan Beri Limpahan Manfaat kepada Rakyat: Presiden Mohamed Muizzu

2024-01-15 13:12:24  CRI
Share with:

Presiden Maldives Mohamed Muizzu mengadakan lawatan rasmi ke China baru-baru ini.

Beliau memilih China sebagai tempat lawatan rasmi pertamanya selepas menjawat jawatan Presiden Maldives, dan tindakan yang 'memecah tradisi' itu menjadi tumpuan perhatian umum.

Mohamed Muizzu ketika diwawancara eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG) di Beijing menyatakan bahawa hubungan dua hala Maldives dan China telah ditingkatkan ke tahap perkongsian strategik komprehensif, sempena lawatannya kali ini. 

"Ini bermakna Maldives dan China akan menjalankan kerjasama bertaraf lebih tinggi dalam lebih banyak sektor, antaranya ekonomi dan pertukaran rakyat dengan rakyat. Ia akan memberikan lebih banyak limpahan manfaat kepada rakyat kedua-dua negara," katanya.

Memegang ijazah kedoktoran kejuruteraan awam, Presiden Maldives itu mengetuai pembinaan Jambatan Persahabatan China-Maldives semasa menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Infrastruktur. Beliau berpendapat jambatan ini merealisasikan impian rakyat Maldives.

Negara kepulauan itu tiada kereta api, jalan raya atau jambatan yang menghubungkan pulau-pulau. Penduduk tempatan hanya dapat melakukan perjalanan antara pulau-pulau dengan menggunakan kapal dan kapal terbang. Jambatan Persahabatan China-Maldives yang siap dibina pada 9 Jun 2018 membantu impinan penduduk tempatan menjadi kenyataan.

"Jambatan Persahabatan China-Maldives bukan sahaja menghubungkan dua pulau, ia juga menyaksikan persahabatan antara kedua-dua negara ini. 

"Jambatan ini antara projek kerjasama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang dikemukakan oleh Presiden China Xi Jinping semasa lawatan beliau ke Maldives pada 10 tahun lalu. Jambatan ini memang mengubah kehidupan rakyat Maldives dan memacu pembangunan ekonomi tempatan," katanya.

Bercakap mengenai pelancongan di Maldives,  beliau menyatakan bahawa pelancongan sudah pasti antara sumber utama pendapatan negaranya. China adalah sumber pelancong terbesar bagi negara itu sebelum COVID-19. Jumlah pelancong dari China mula pulih sejak tahun lepas dan mengekalkan trend peningkatan pesat pada masa ini. 

"Saya yakin jumlah pelancong dari China pada tahun ini akan melebihi jumlahnya sebelum COVID-19," kata Presiden Mohamed Muizzu.