China, Switzerland Sepakat Mulakan Rundingan Naiktaraf FTA
China dan Switzerland telah menyelesaikan kajian kebolehlaksanaan bersama bagi menaiktaraf Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), dan bersepakat memulakan rundingan terbabit dengan secepat mungkin.
Demikian hasil dicapai Perdana Menteri China, Li Qiang dan Pengerusi Persekutuan Switzerland, Viola Amherd di Bern semalam.
Li Qiang berkata, China bersedia mengekalkan interaksi erat dengan pemimpin Switzerland, mempercepat atau memulihkan pertukaran pelbagai kalangan, memperdalam kerjasama dalam perdagangan bebas dan kastam, mencetuskan momentum baharu dalam kerjasama hijau, kewangan dan ekonomi digital.
China berharap Switzerland menyediakan persekitaran perniagaan yang terbuka dan adil tanpa diskriminasi.
Kedua-dua pihak diharap mengeratkan penyelarasan dalam kerangka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bersama-sama memberikan sumbangan positif untuk kedamaian dan pembangunan dunia.
Menyentuh tentang rundingan menaiktaraf FTA, China dan Switzerland bersepakat mengambil tindakan dalam pusingan baharu pada tahun ini yang merangkumi dialog strategik peringkat menteri luar, mesyuarat kumpulan kewangan, mesyuarat kumpulan penggiat sumber tenaga, dialog dasar pendidikan dan mesyuarat urusan Majlis Keselamatan PBB, di samping merancakkan pertukaran sosiobudaya sempena ulang tahun ke-75 terjalinnya hubungan diplomatik.
Sementara itu, China akan memberikan layanan bebas visa kepada pemegang pasport Switzerland, sedangkan Switzerland akan menyediakan lebih banyak kemudahan visa kepada warganegara dan perusahaan China yang melabur di negaranya.