ASEAN Kekal sebagai Rakan Dagang Terbesar China
Perdagangan antara China dan negara-negara ASEAN memelihara trend peningkatan dan merekodkan RMB6.41 trilion (RM4.19 trilion) pada tahun 2023. ASEAN mengekalkan statusnya sebagai rakan dagang terbesar China selama empat tahun berturut-turut, sementara China juga rakan dagang terbesar ASEAN selama bertahun-tahun.
Menurut data terkini Pentadbiran Am Kastam China, dalam tempoh 20 tahun lalu, jumlah perdagangan antara China dan ASEAN menyaksikan peningkatan sebanyak 16.8 kali ganda, dan jumlah kumulatif pelaburan dua hala melebihi USD380 bilion.
Pintu masuk Youyi yang terletak di bandar Pingxiang, wilayah Guangxi antara laluan darat mudah yang menghubungkan China dengan negara-negara ASEAN, dan ia juga saluran penting bagi perdagangan buah-buahan antara China dan Vietnam.
Naib Ketua Jabatan Urusan Komprehensif Kastam Pintu Youyi, Lin Xiaoming menyatakan bahawa nilai barang perdagangan yang melalui pintu Youyi merekodkan RMB423.22 bilion (RM277 bilion) pada tahun 2023, menokok 111.6 peratus berbanding tahun 2022.
"Antaranya, produk pertanian yang dieksport dari negara ASEAN ke China melalui pintu Youyi bernilai RMB24.12 bilion (RM15 bilion), meningkat 261.9 peratus berbanding tahun 2022," kata Lin.
Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang berkuatkuasa sepenuhnya pada Jun 2023 menandakan kawasan perdagangan bebas yang meliputi kira-kira satu pertiga populasi dan jumlah perdagangan dunia memasuki fasa pelaksanaan baharu.
Data terlibat menunjukkan bahawa jumlah import dan eksport antara China dengan 14 negara anggota lain dalam RCEP merekodkan RMB12.6 trilion (RM8.25 trilion) pada tahun 2023. Pintu Youyi kini bukan sekadar laluan perdagangan kecil pada masa dahulu, ia telah berkembang menjadi "penstabil" bagi kesambungan dan kelancaran rantaian perindustrian dan bekalan antara China dan ASEAN.