Yakin akan China Sama dengan Merebut Peluang

2024-01-18 16:09:52  CRI
Share with:

Menurut perangkaan dari Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China pada Rabu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China bagi tahun 2023 meningkat 5.2% berbanding tahun 2022, dengan mencatat RMB126.06 trilion (RM82.61 trilion), sejajar dengan unjuran masyarakat antarabangsa. Ekonomi China sudah pulih dan perkembangannya semakin kukuh, seperti yang ditunjukkan dari siri perangkaan yang terbabit.

Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) meramalkan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi sejagat pada tahun 2023 mencatat 3.0%, manakala Suruhanjaya Eropah menurunkan unjuran pertumbuhan zon euro bagi tahun 2023 kepada 0.6%. Berbanding dengan ini, China berada di barisan hadapan antara entiti ekonomi utama di dunia berhubung kadar pertumbuhan ekonomi.

Menurut statistik berkenaan, China mencipta rekod baharu dalam bidang jualan runcit barangan penggunaan pada tahun 2023 yang turut menyumbang 4.3 mata peratusan dalam keseluruhan pertumbuhan, yang sekali gus menonjolkan peranannya sebagai enjin kuat. Selaku pasaran besar yang paling berpotensi di dunia, penggunaan China yang makin dinamik amat berfaedah bagi pemulihan ekonomi dunia.

Dalam bidang import eksport lagi, Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) dalam laporannya meramalkan bahawa jumlah perdagangan kargo sejagat menurun 7.5% pada tahun 2023, manakala keseluruhan import eksport China kekal stabil dan dijangka mengekalkan kedudukan pertama dalam bidang perdagangan kargo sejagat untuk tujuh tahun berturut-turut.

China dilihat bukan hanya “kilang dunia” lagi, tetapi juga terkenal sebagai tanah inovatif dalam senario global. Menurut laporan yang dikeluarkan Pertubuhan Perlindungan Hak Intelektual Dunia (WIPO), China menduduki tempat ke-12 dalam senarai indeks inovasi sejagat. Setakat penghujung tahun 2023, China menjadi negara pertama yang mempunyai 4 juta lebih paten ciptaan yang berkuatkuasa. “Penciptaan China” sedang mendorong cepat kemajuan teknologi dan transformasi industri dan menyuntik momentum kepada ekonomi dunia.  

Di sebalik penurunan pelaburan langsung asing di serata dunia, China tetap menyaksikan peningkatan pelaburan asing baharu sebanyak 36.2% pada 11 bulan pertama tahun 2023 berbanding tempoh yang sama tahun 2022. Dalam tempoh lima tahun yang lalu, pelaburan langsung asing di China mendapat keuntungan pada kadar kira-kira 9%, iaitu pada tahap yang agak tinggi di arena antarabangsa. Ini membuktikan sepenuhnya bahawa memilih pasaran China tidak membawa risiko, sebaliknya peluang.

Seperti yang dikatakan Ketua Setiausaha UNCTAD, Rebeca Grynspan, pertumbuhan ekonomi China dijangka kekal konsisten pada masa depan, kerana negara itu menduduki tempat terdepan dalam banyak industri dan transformasi ekonominya terus digalakkan.