Budaya Minum Kopi di China

2024-01-19 14:42:54  CRI
Share with:

Baru-baru ini, dalam konsertnya di Singapura, penyanyi China, Joker Xue mengongsikan pengalamannya ketika memesan kopi. Bagi orang asing, “kopi O kosong peng” memang tidak difahami. Tetapi, itulah keunikan budaya kopi di Singapura dan Malaysia.

 

Budaya kopi di China agak kreatif. Kami cuba campurkan pelbagai jenis makanan dan minuman ke dalam kopi agar dapat mencipta rasa yang lebih unik. Banyak yang kurang berjaya dan cepat hilang daripada pasaran, namun akan muncul beberapa jenis kopi yang kemudian menjadi tular.

 

Kopi campur air kelapa yang dikeluarkan pada tahun 2021 terjual lebih satu juta cawan sehari. Kopi campur Maotai, sejenis arak terkenal di China pula mencipta rekod baharu, iaitu terjual lebih lima juta cawan sehari. China kini mampu mengeluarkan lebih 100 jenama tempatan kopi dalam tempoh setahun.

 

Kopi klasik menambah bilangan jenis kopi kreatif, menarik bilangan penggemar yang besar, sekali gus merangsang pasaran di China.

 

Menurut World Coffee Portal, di China terdapat kira-kira 50 ribu buah kedai kopi, meningkat 58% pada tahun 2023. Jumlah ini sekali gus mmengatasi Amerika sebagai pasaran kopi terbesar di dunia.

 

Jenama kopi tempatan China, Kopi Luckin membuka 5,000 buah kedai rantaian baharu. Pesaingnya yang muncul pada tahun lalu, iaitu Kopi Cotti membuka 6000 buah kedai rantaian sekali gus.

 

Jenama domestik memberi impak yang besar kepada jenama asing seperti Starbucks yang dulu mendominasi pasaran kopi di negara ini. Bagaimanapun, Starbucks secara aktif membuat perubahan untuk menghadapi cabaran ini. Starbucks mencipta rekod dengan membuka 326 buah kedai baharu pada suku tahun keempat tahun 2023. Starbucks juga menyasarkan untuk menambah kedai rantaian di China dari 6,800 kepada 9,000 buah menjelang 2025.

 

Selain itu, pelbagai jenama kopi dari dalam dan luar negara juga ikut serta dalam persaingan di pasaran China, antaranya, termasuk %Arabica, Seesaw, Manner, M Stand, Tim Hortons dan lain-lain. Penggemar kopi boleh memilih kopi yang harganya di bawah RM10, atau mencuba kopi yang berharga lebih RM150 secawan.

 

Kehangatan pasaran kopi mecerminkan kedinamikan ekonomi China. Pertumbuhan KDNK China pada tahun 2023 mencatat 5.2%, terus menjadi pasaran dan destinasi pelaburan yang menarik bagi modal asing.

 

Perkembangan pasaran kopi sebagai minuman dari luar negara di China menyaksikan proses keterbukaan negara ini.

 

Kedai kopi pertama di China dibuka di Guangzhou pada 1836. Pada masa itu, Guangzhou merupakan pelabuhan perdagangan luar satu-satunya bagi Dinasti Qing. Seorang peniaga dari Denmark amat rindu akan kopi, lalu beliau membuka kedai kopi yang hanya untuk peniaga asing di Guangzhou pada masa itu.

 

Selepas Diansti Qing digulingkan, ramai belia China melanjutkan pengajian ke Barat. Mereka membawa balik budaya minum kopi dari sana. Kedai kopi pertama di Beijing dibuka pada tahun 1914 di Jalan Wangfujing. Di Shanghai pula, jumlah kedai kopi mencatat 300 buah pada tahun 1946.

 

Pada 1980-an, selepas pelaksanaan dasar pintu terbuka, kopi segera seperti Maxwell dan Nescafe memasuki pasaran China.

 

Pada tahun 1997, pelajar Taiwan yang melanjutkan pengajian di Beijing membuka kedai kopi yang turut menyediakan makanan snek berhampiran pelbagai universiti di Beijing. Golongan mahasisiwa pada masa itu menjadi perintis pasaran kopi yang hangat pada masa ini.

 

Starbucks kemudian membuka kedai pertama di Beijing pada 1999. Pada mulanya, Starbucks tidak begitu optimis dengan pasaran yang suka minum teh ini. Namun, kejayaan yang di luar jangkaan menggalakkan Starbucks meningkatkan pelaburan secara besar-besaran sejak 2005. Pada masa itu minum di Starbucks dilihat sebagai suatu gaya hidup. Sehingga tahun 2019, Starbucks telah membuka lebih 4,000 kedai di China.

 

Apa yang lebih menarik, perkembangan pesat pasaran kopi tidak membawa impak negatif kepada pasaran teh, sebaliknya menggalakkan inovasi minuman tradisional China ini sehingga berjaya meneroka pasaran antarabangsa.