Raptai Kali Kedua Gala TBC 2024 Selesai

2024-01-22 15:07:52  CRI
Share with:

Raptai kali kedua Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2024 anjuran Kumpulan Media China (CMG) berlangsung dengan jayanya pada Ahad.

Sesi raptai itu menyaksikan empat bandar yang dipilih menjadi lokasi sampingan penganjuran gala TBC iaitu Shenyang di provinsi Liaoning, Changsha di provinsi Hunan, Xi'an di provinsi Shaanxi dan Kashgar di wilayah Xinjiang tampil serentak bersama Beijing sebagai lokasi utama. 

Di Shenyang, para penonton kelihatan teruja apabila disajikan persembahan menakjubkan yang menggabungkan nyanyian opera klasik tempatan dengan elemen-elemen moden.

Di Xi'an, kegemilangan zaman Dinasti Tang kembali terpapar menerusi persembahan yang menyepadukan pelbagai bentuk seni membabitkan nyanyian rap gaya Shaanxi, tarian shuixiu (lengan baju panjang) dan simfoni gendang rakyat.

Di Kashgar, suasana riang ria menyelubungi lokasi raptai apabila artis pelbagai etnik memperagakan tarian dan nyanyian diiringi alunan alat muzik klasik dengan memakai busana tradisional masing-masing. 

Reka bentuk pentas yang unik di bandar berkenaan serta pengisian program persembahan yang menarik membolehkan penonton menyelami adat tradisi masyarakat tempatan dan merasai keceriaan sambutan perayaan TBC.