Pelancong China Pilih Destinasi yang Ramah Mesra

2024-01-22 15:15:45  CRI
Share with:

Ketika Duta Besar China ke Iceland menerima kunjungan Anna Morris, seorang pereka fesyen tempatan baru-baru ini, Anna Morris telah bercerita tentang pergaulannya dengan selebriti China yang membuat penggambaran program “Divas Hit the Road” di Reykjavík.

 

Ketika menyaksikan tujuh orang selebriti yang melibatkan Dilireba, Qin Lan, Xin Zhilei dan lain-lain dari China sedang bersiar-siar di bandar tersebut, Anna Morris mengundang mereka ke kedainya dan menghadiahkan topi rekaannya kepada mereka.

 

Apabila program TV tersebut disiarkan, sikap Anna Morris yang mesra dan ramah tamah menyentuh hati para netizen China, sehingga Mjuk, jenama kecil milik Anna Morris menjadi terkenal di negara ini. Ramai pelancong China yang melawat ke Reykjavík, Iceland khusus pergi untuk membeli-belah di kedainya. Anna Morris juga menjual produknya menerusi penstriman langsung di platform media sosial China.

 

Menurut laporan Bloomberg, kehilangan pelancong China menyebabkan kerugian sebanyak USD130 bilion kepada sektor pelancongan global. Menurut laporan itu, pelancong China pernah menjadi pembayar terbesar bagi pelancongan antarabangsa. Bagaimanapun, mereka memilih untuk melancong ke destinasi domestik selepas pandemik. Hal ini menimbulkan rasa kesal syarikat penerbangan, pegawai pelancongan dan penjual produk mewah.

 

Namun, keadaan ini jelas bercanggah dengan apa yang berlaku di Reykjavík.

 

Laporan Bloomberg juga menyentuh tentang program “Divas Hit the Road” yang membantu mempromosi sumber pelancongan di Arab Saudi, Croatia dan Iceland. Analisis Bloomberg turut mengiktiraf Inisiatif Jalur dan Laluan yang mendorong pelancong China kembali melancong ke Asia Barat. Si kecil juga meminta Satria membawanya melancong ke Dubrovnik, Croatia setelah menonton program tersebut.

 

Pelancong China melawat ke negara luar untuk menikmati pemandangan dan budaya yang berbeza. Tetapi, kalau kerajaan sesebuah negara itu selalu melihat setiap pelancong China sebagai perisik, mengawal ketat pemberian visa kepada pelancong China, serta sering mengambinghitamkan China dalam arena antarabangsa, bahkan menyekat syarikat dan produk dari China, saya fikir pelancong China tentu akan mempertimbangkan pilihan mereka.

 

Kita ambil satu contoh yang kecil. Satria menggunakan telefon pintar Huawei. Tetapi sebahagian fungsi telefon pintar Huawei dan beberapa jenama China disekat daripada menggunakan perkhidmatan telekomunikasi Amerika Syarikat. Oleh itu, saya pasti akan memilih untuk melancong ke negara yang lain. Dunia cukup luas, terdapat banyak pilihan lain bagi pelancong China.

 

Kami juga menyaksikan negara Asia Tenggara yang memberi pengecualian visa kepada pelancong China menjadi pilihan utama pelancong China pada musim sejuk ini, khususnya menjelang cuti umum panjang Tahun Baharu China (TBC).

 

Berdasarkan maklumat Jabatan Pentadbiran Penerbangan Awam China (CAAC), jumlah penerbangan antarabangsa meningkat 2,500 menjelang perayaan TBC, dan kebanyakannya ke Asia Tenggara, Jepun dan Korea Selatan.