Berpaksikan Rakyat, Inti Pati Projek Strategik '3820'

2024-01-23 15:49:22  CRI
Share with:

Projek strategik '3820' merupakan sebuah gagasan yang mencakupi matlamat, langkah terperinci, susun atur serta keutamaan pembangunan sosioekonomi Fuzhou untuk tempoh tiga tahun, lapan tahun dan 20 tahun.

Kerja penggubalan strategi itu diketuai oleh Xi Jinping ketika beliau menyandang setiausaha Jawatankuasa Parti Komunis China (PKC) di bandar Fuzhou pada 1992.

Ia meliputi pelan susun atur membabitkan pembinaan bandar, perlindungan alam sekitar, budaya dan pendidikan dengan konsep pembangunan berpaksikan rakyat menjadi inti pati pelaksanaan strategi berkenaan.

Isu perumahan berkait rapat dengan kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara. Ia sentiasa menjadi keutamaan dalam keseluruhan proses pelaksanaan projek strategik '3820'.

Kisah Xi mengunjungi komuniti Cangxia sebanyak tiga kali masih lekat di bibir penduduk tempatan sehingga hari ini.

Cangxia pernah merupakan sebuah kawasan melarat. Pada 2 Julai 2000, Xi yang memegang jawatan gabenor provinsi Fujian turun padang meninjau dan menyantuni penduduk sekitar kawasan itu.

Selepas mendengar suara rakyat, beliau berkata kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk menyempurnakan program penambahbaikan kawasan kediaman.

Tidak lama kemudian, kerja pengubahelokan kawasan Cangxia mula dijalankan, dan Xi pernah dua kali menjejakkan kaki ke sana untuk melihat sendiri perkembangan program itu.

Setahun berlalu, lebih 3,400 keluarga isi rumah berjaya berpindah ke rumah baharu mereka.

Pada awal 1990-an, bandar Fuzhou terjejas oleh pencemaran sisa industri dan air kumbahan. Keutamaan pada masa itu diberikan kepada bidang ekonomi.

Xi pernah menyatakan perlunya wujud perkembangan terselaras antara ekonomi dengan alam sekitar, dan sebarang tingkah laku meraih keuntungan ekonomi dengan mengorbankan alam sekitar adalah tidak berbaloi.

Berlandaskan projek strategik '3820', Fuzhou melakukan usaha berterusan ke arah menjayakan pembangunan hijau.

Hasilnya, sebanyak 107 batang sungai berjaya dirawat. Tasik Barat semakin jernih, manakala persekitaran lembangan Sungai Minjiang bertambah baik.

Bandar itu kini mempunyai lebih daripada 1,500 taman dengan kadar penghijauan melebihi 43 peratus.

Berpaksikan rakyat, projek strategik '3820' membawa banyak manfaat yang besar kepada warga Fuzhou.

Pendapatan boleh guna per kapita penduduk bandar meningkat kepada 58,009 yuan (RM38,102) pada 2023 daripada 2,273 yuan (RM1,492) pada 1992.

Bagi penduduk luar bandar pula, jumlah itu naik kepada 28,636 yuan (RM18,809) pada tahun lalu berbanding paras 1,109 yuan (RM728) yang dicatat pada 1992.