Loong, Simbol Budaya China

2024-01-29 17:02:39  CRI
Share with:

Tahun Baharu Cina yang menjelang tiba ini adalah tahun Loong. Ada kawan-kawan di Malaysia mengingatkan Satria bahawa sambutan tahun ini sepatutnya tahun Naga.

 

Tetapi, Loong di China memang berbeza dengan naga atau dragon.

 

Rupa dragon di barat seperti dinosaur yang mempunyai sayap. Dragon sering dianggap sebagai haiwan jahat yang suka mengumpul dan melindungi khazanah, dan sering dibunuh oleh pahlawan pada akhir cerita. Ini jelas tidak sama dengan naga atau Loong di timur yang dipandang mulia dan suci.

 

Naga di beberapa negara Asia Tenggara berasal daripada kepercayaan dalam agama Budda. Naga adalah sejenis haiwan suci yang lebih mirip dengan ular, hidup di air seperti di Sungai Mekong, tiada kaki, dan ada yang bertanduk tunggal. Imej naga ini banyak terdapat di Thailand.

 

Satria pernah melawat Angkor Wat, Kemboja. Di sana terdapat banyak jambatan yang ada ukiran naga. Namun, rupanya hampir sama dengan ular, dan ada juga yang mempunyai beberapa kepala.

 

Satria juga pernah melawat Istana Thang Long di Hanoi, Vietnam. Ukiran yang terdapat di sana hampir sama dengan Loong di China. “Thang Long” maksudnya “Loong yang terbang”. Ini kerana budaya Vietnam yang bersempadan dengan China berada dalam lingkungan budaya China.

 

Begitu juga di Jepun dan Korea. Dalam filem animasi “Spirited Away” Jepun ada “Loong Putih” yang sangat disukai oleh para penggemar filem animasi. Di Korea pula, sebagai negara vassal atau negara lindungan, pernah memohon menggunakan Bendera Loong Kuning Dinasti Qing sebagai bendera kebangsaannya dalam rundingan dengan Amerika Syarikat pada hujung abad Ke-19. Tetapi permohonan Korea ini ditolak oleh kerajaan Dinasti Qing.

 

Loong antara simbol yang paling signifikan dalam budaya China. Imejnya menghimpunkan keistimewaan pelbagai jenis haiwan yang benar-benar wujud. Hal ini memperlihatkan budaya China yang inklusif dan harmoni.

 

Kajian arkeologi menemui imej Loong sepanjang 20 meter yang dibentuk menggunakan dengan tanah dan batu yang berusia kira-kira 8000 tahun di provinsi Liaoning. Dalam makam yang berusia kira-kira 6000 tahun di provinsi Henan juga terdapat Loong dan harimau yang dibentuk menggunakan cangkerang di kedua-dua belah sisi mayat. Di wilayah Mongolia Dalam pula ditemui ukiran jed Loong yang bersejarah kira-kira 5000 tahun. Projek Penerokaan Bulan China(CLEP) pula menggunakan jed Loong sebagai tanda. Ini bermakna budaya Loong telah bersejarah sekurang-kurangnya 10 ribu tahun di China.

 

Pada awalnya Loong merupakan tanda bagi beberapa suku kaum nenek moyang orang China. Loong beransur-ansur menjadi haiwan suci yang mengawal perubahan cuaca. Orang China berdoa kepada Loong untuk hasil tuaian yang baik. Seterusnya Loong menjadi simbol kewibawaan maharaja. Kini, Loong menjadi simbol bangsa China.