Kerjasama COC Tidak Mungkin Tanpa China

2024-01-30 14:17:03  CRI
Share with:

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. sedang dalam rangka lawatannya ke Vietnam. Sebelum memulakan lawatan, Marcos menegaskan akan mengadakan rundingan kerjasama maritim dengan Vietnam.


Terdapat media barat yang cuba mengeluarkaan hasutan berkaitan rundingan ini yang akan menimbulkan kemarahan China. Tetapi bagi Satria, hal ini memperlihatkan situasi rumit di Laut China Selatan. Kerjasama maritim tersebut diyakini lebih mengutamakan usaha untuk mengelakkan pertikaian berkaitan penangkapan ikan antara Filipina dengan Vietnam saja.


Seperti yang sudah banyak kali Satria tegaskan, pertikaian di Laut China Selatan bukan hanya wujud antara China dengan negara-negara ASEAN, tetapi juga antara pelbagai negara anggota ASEAN. Pada tahun 2017 pernah berlaku kejadian dua orang nelayan Vietnam ditembak mati oleh Pasukan Kawalan Pantai Filipina ketika menangkap ikan di kawasan perairan berdekatan dengan negara itu.


Satria berharap kerjasama maritim Filipina - Vietnam membantu mengelakkan perisitwa seperti itu berulang. Penyelesaian pertikaian secara damai melalui rundingan amat penting bagi keamanan dan kestabilan serantau.


Bagaimanapun, kalau hasrat Marcos bukan untuk kedamaian dan kestabilan serantau, sebaliknya merangka satu Kod Tatalaku(COC) di Laut China Selatan baharu yang mengecualikan China, usaha ini pasti mengalami kegagalan dan tidak akan mendapat sokongan negara anggota ASEAN yang lain.


Ketika melawat Filipina pada awal bulan ini, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengatakan kepada Menteri Luar Filipina, Manalo bahawa Indonesia bersedia bekerjasama dengan semua negara anggota ASEAN, termasuk Filipina untuk menyelesaikan COC secepat mungkin.


Jelas bahawa COC yang dimaksudkan oleh Retno adalah COC yang sedang dirundingkan bersama-sama China, bukan COC baharu yang diwarwarkan oleh Marcos yang kononnya akan bekerjasama dengan negara jiran seperti Vietnam dan Malaysia.


Secara terus terang, maklum balas Vietnam dan Malaysia sangat dingin terhadap cadangan Marcos yang dikemukakan pada bulan November tahun 2023.


Lawatan Presiden Xi ke Vietnam pada hujung tahun 2023 meningkatkan persahabatan kedua-dua negara untuk “berkongsi masa depan”. Kedua-dua pihak bersepakat mengutamakan kepentingan dan kewajiban bersama untuk mengekalkan kedamaian dan kestabilan di Laut China Selatan, mencari penyelesaian konsisten yang boleh diterima oleh kedua-dua pihak, serta menggalakkan pencapaian COC yang pragmatik dan berkesan seawal mungkin. Ini boleh disifatkan sebagai penolakan terhadap “COC baharu” yang dicadangkan oleh Marcos.


Mengecualikan China tidak membantu menyelesaikan isu Laut China Selatan. Filipina diharapkan tidak menimbulkan gangguan dan kembali ke meja rundingan supaya COC dapat dilaksanakan secepat mungkin.