Wang Yi Menemui PM Thailand
Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin telah ditemui anggota Biro Politik Pusat Parti Komunis China yang juga Menteri Luar, Wang Yi di Bangkok semalam.
Setelah menyampaikan salam daripada pemimpin China kepada Srettha, Wang menghargai keputusannya yang memilih China sebagai negara pertama dalam jadual lawatan di luar blok ASEAN selepas menyandang jawatan PM, dan menyifatkan keputusan itu mencerminkan keutamaan Thailand terhadap hubungannya dengan China, malah menyuburkan persahabatan tradisional kedua-dua negara.
Wang berkata, China sentiasa mengutamakan Thailand dalam diplomasi kejiranan, dan lawatannya ke Thailand kali ini adalah untuk melaksanakan kata sepakat dicapai pemimpin kedua-dua negara, sekali gus mendorong kerjasama dalam pelbagai bidang.
Isu Taiwan berkait rapat dengan kedaulatan dan keutuhan wilayah China. Sehubungan itu, China menyanjung tinggi pihak Thailand yang mengekalkan prinsip Satu China dan percaya Thailand akan terus memahami dan menyokong usaha penyatuan semula China.
Sementara itu, China juga akan terus menyokong Thailand melindungi keselamatan kedaulatan negaranya dan memacu pembangunan. China bersedia mengekalkan pertukaran peringkat tinggi dengan Thailand, merapatkan interaksi sosiobudaya, mendorong perkembangan pelancongan bersempena tersedianya layanan bebas visa antara satu sama lain, dan bertindak pantas memperincikan kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.
Selain itu, kedua-dua pihak dikehendaki terus merancakkkan pembinaan bersama yang berkualiti dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), mempercepat pembinaan landasan kereta api China-Thailand, melancarkan laluan tengah landasan kereta api Trans-Asia (TAR) supaya dapat meningkatkan kesalinghubungan serantau. Pada masa yang sama, diharapkan bahawa visi pembangunan kesalinghubungan China-Laos-Thailand dilaksanakan secepat mungkin sehingga dapat dijadikan penggerak baharu bagi pembangunan kedua-dua negara China dan Thailand untuk jangka masa panjang.
Srettha pula meminta Wang menyampaikan salamnya kepada pemimpin China, dan berkata pihaknya mementingkan hubungan dengan China, serta konsisten mengamalkan dasar Satu China. Thailand secara aktif menyertai pembinaan bersama di bawah BRI dan berharap terus meningkatkan interaksi dengan pihak China untuk mendorong pelaksanaan projek berkenaan dan meningkatkan tahap kesalinghubungan serantau.