China Bawa Balik 10 Suspek Penipuan Telekomunikasi di Utara Myanmar
Pihak polis Myanmar menyerahkan 10 suspek utama yang terlibat dalam kes penipuan telekomunikasi di kawasan bahagian utara negaranya kepada jabatan keselamatan awam China pada Selasa.
Antara 10 suspek tersebut, Bai Suocheng, Bai Yingcang, Wei Huairen, Liu Zhengxiang, Liu Zhengmao, dan Xu Laofa merupakan enam ketua sindiket penipuan telekomunikasi.
Pasukan polis China membawa balik 10 suspek tersebut dengan menggunakan pesawat sewa khas pada malam Selasa. Ini merupakan satu pencapaian signifikan dalam kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa antara China dan Myanmar yang turut memperlihatkan keazaman yang kuat dan tekad yang tegas kedua-dua pihak untuk memelihara masyarakat yang selamat dan stabil melalui operasi bersama memerangi 'lambakan' sindiket transnasional yang memperdaya dalam bidang telekomunikasi atau ruang siber.
Seorang pegawai berkenaan dari Kementerian Keselamatan Awam China memaklumkan, seramai 44,000 suspek penipuan telekomunikasi telah dibawa balik dari Myanmar ke China setakat ini, termasuk 171 orang pendalang, penganjur atau anggota utama serta 2,908 orang buruan yang pernah diumumkan dalam ruang siber, hasil kerjasama jabatan keselamatan awam Yunnan dengan pihak polis Myanmar dalam operasi penguatkuasaan yang konsisten di kawasan sempadan kedua-dua negara.