Kerjasama Antarabangsa Bendung Penipuan Telekomunikasi Rentas Sempadan

2024-02-02 14:14:40  CRI
Share with:

Filem “The Beekeeper” yang dilakon oleh aktor Jason Statham menduduki tempat teratas dalam kutipan jualan tiket di Amerika. Filem ini menceritakan Jason Statham menghapuskan sindiket penipuan siber telekomunikasi setelah jirannya membunuh diri.

 

Banyak warga di China, Malaysia, dan Indonesia menjadi korban penipuan siber telekomunikasi. Sindiket penipuan siber telekomunikasi pernah berpangkalan di Kemboja, Malaysia, Filipina dan yang paling teruk pada beberapa tahun kebelakangan ini adalah di kawasan bahagian utara Myanmar.

 

Empat keluarga terbesar tempatan, iaitu Bai, Wei, Liu dan Ming masing-masing mempunyai pasukan tentera sendiri dan sanggup berperang dengan tentera kerajaan Myanmar, menjadi pelindung sindiket penipuan siber telekomunikasi, malah secara langsung menjalankan “taman penipuan telekomunikasi”.

 

Pembanterasan sindiket berkenaan tentulah tidak mungkin berjaya dengan usaha hanya seorang “Beekeeper”, sebaliknya perlu melalui kerjasama antarabangsa.

 

Pihak polis Myanmar menyerahkan 10 suspek utama yang terlibat dalam kes penipuan siber telekomunikasi di kawasan bahagian utara negaranya kepada jabatan keselamatan awam China pada Selasa lalu.

 

Antara 10 suspek tersebut, Bai Suocheng, Bai Yingcang, Wei Huairen, Liu Zhengxiang, Liu Zhengmao, dan Xu Laofa yang merupakan enam ketua sindiket penipuan siber telekomunikasi. Dengan kematian Ming Xuechang kerana membunuh diri dan penangkapan tiga ahli keluarga Ming, jenayah oleh empat keluarga terbesar yang sudah lama mengawal Myanmar utara berjaya dibendung.

 

Kejayaan ini merupakan satu pencapaian yang besar dalam kerjasama penguatkuasaan undang-undang antarabangsa antara China dan Myanmar. Kerjasama ini turut memperlihatkan keazaman yang kuat dan tekad kedua-dua pihak untuk melindungi masyarakat agar selamat dan stabil melalui operasi bersama memerangi 'lambakan' sindiket rentas sempadan yang memperdaya mangsa melalui telekomunikasi atau dalam talian.

 

Menurut Kementerian Keselamatan Awam China, setakat ini, 44,000 suspek penipuan siber telekomunikasi telah dibawa balik ke China dari Myanmar. Jumlah ini termasuk 171 orang dalang, penganjur atau anggota utama serta 2,908 orang buruan yang pernah diumumkan dalam ruang siber. Penangkapan penjenayah ini hasil kerjasama jabatan keselamatan awam Yunnan dengan pihak polis Myanmar dalam operasi penguatkuasaan yang berterusan di kawasan sempadan kedua-dua negara.

 

Sindiket penipuan siber telekomunikasi dan dalam talian kini merupakan cabaran bagi seluruh dunia. Sindiket yang berpangkalan di pelbagai negara, merekrut atau memaksa warga pelbagai negara menjadi “staf”, dan dibahagikan untuk misi yang menyasarkan negara-negara yang berbeza.

 

China mengharamkan sindiket di luar negara menyasarkan warga China, termasuk tidak membenarkan sindiket China bersembunyi di luar negara untuk melakukan jenayah berkaitan. Kerajaan Myanmar pula komited menggalakkan lebih banyak kerjasama antarabangsa untuk menjamin kepentingan dan keselamatan warga China.