Amalan Bentuk 'Kumpulan Kecil' di LCS Nescaya Gagal

2024-02-03 16:27:01  CRI
Share with:

Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr. dalam lawatan di Vietnam baru-baru ini melahirkan 'kerisauan' terhadap pertikaian kedaulatan antara Filipina dengan China.

Kerajaan Filipina dan Vietnam dilaporkan memeterai dua memorandum persefahaman yang bersetuju untuk menubuhkan talian hangat komunikasi serta jawatankuasa pasukan pengawal pantai bersama.

Menurut pandangan pakar, Filipina ingin memperalat isu keselamatan untuk membentuk 'kumpulan kecil' di Laut China Selatan (LCS) dan memperhebat tekanan ke atas China.

Filipina tidak henti-henti bertindak dalam isu LCS sejak tahun lepas. Selain kerap kali menceroboh masuk perairan pulau Huangyan dan terumbu Ren’ai, Filipina juga menghantar bahan binaan untuk kapal perangnya yang ditempatkan di perairan terumbu Ren’ai dengan niat mencapai pendudukan berkekalan.

"Amat mudah bagi Amerika Syarikat (AS) menjalankan pembasuhan otak ke atas kita," kata jurucakap mantan Presiden Filipina, Rigoberto Tiglao dalam satu artikelnya baru-baru ini. Ia turut mencerminkan sebabnya Filipina melakukan amalan yang berbahaya pada masa ini.

Sejak tahun lepas, AS yang berniat mendorong 'strategi Indo-Pasifik' telah menambah tekanan dan pujukan terhadap kerajaan Filipina, dan ingin menjadikan Filipina sebagai 'pelopor' anti-China di kawasan LCS.

Di samping itu, Presiden Marcos Jr. juga menghadapi tekanan domestik terutamanya ketidakpuasan rakyat terhadap masalah inflasi.

Oleh itu, Presiden Filipina itu mahu mengalihkan masalah domestik dengan mencanangkan ancaman dari luar.

Sejak sekian lama, China dan negara-negara ASEAN telah mewujudkan jalan bagi menyelesaikan pertikaian secara baik melalui perundingan dan penerokaan bersama, di samping memegang prinsip bahawa pertikaian hendaklah diselesaikan secara damai oleh negara yang langsung terbabit menerusi perbincangan bersahabat. 

Demi kepentingan sendiri dan negara luar rantau, Filipina berniat menubuhkan 'kumpulan kecil' yang menyasar China. Amalan itu bukan sahaja merumitkan dan membesarkan pertikaian, malah melanggar semangat Deklarasi Tatalaku (DoC) Pihak-Pihak Berkepentingan di LCS dan menjejaskan usaha sama yang telah dibuat negara serantau.

Tibalah masa bagi Filipina meneliti semula dasar luarnya. Negara itu dinasihati supaya jangan mengambil sikap seperti kaki judi sehingga menjadikan nasib sendiri bergantung pada kuasa besar luar rantau yang tidak boleh dipercayai.