CMG Anjur 'Prelud Gala TBC' di Geneva

2024-02-03 16:15:46  CRI
Share with:

Aktiviti 'Prelud Gala Tahun Baharu Cina' anjuran Kumpulan Media China (CMG) diadakan di Palais des Nations, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva (UNOG) pada Jumaat.

Dengan tujuan menggalakkan pertukaran sosiobudaya di peringkat antarabangsa serta saling belajar sesama tamadun, aktiviti itu diserikan dengan kehadiran lebih 300 tetamu termasuk wakil tetap dan diplomat pelbagai negara di Geneva, serta pegawai dari organisiasi dan institusi antarabangsa.

Presiden CMG Shen Haixiong dalam ucapan secara maya menyatakan Gala Tahun Baharu Cina (TBC) tahun ini akan menyajikan 'jamuan malam budaya' melalui penyiaran berbentuk 'pemikiran+seni+teknologi' dengan menyepadukan budaya tradisional dan tamadun moden.

Beliau turut meluahkan kesediaan CMG bersama pelbagai lapisan masyarakat di Switzerland untuk memperdalam kerjasama dan pertukaran sosiobudaya, mendorong kemajuan peradaban manusia dan menggalakkan pemodenan dunia.

Ketua Pengarah UNOG Tatiana Valovaya menghargai usaha China dalam mempertahankan multilateralisme, membasmi kemiskinan dan kelaparan, serta peranannya dalam pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030.

Beliau turut menzahirkan harapan agar semua orang dilimpahi kesihatan, kejayaan dan kebahagiaan pada Tahun Naga.

Wakil Tetap China ke UNOG, Chen Xu berkata TBC telah diwartakan sebagai cuti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Beliau menzahirkan rasa sukacita kerana dapat berkongsi kegembiraan perayaan TBC bersama negara-negara di dunia.