China dan Switzerland Capai Kemenangan Bersama

2024-02-05 14:24:04  CRI
Share with:

Anggota Majlis Persekutuan Switzerland dan juga Ketua Jabatan Ekonomi, Pendidikan dan Penyelidikan Guy Parmelin ditemubual eksklusif oleh Kumpulan Media China (CMG) di ibu kota Switzerland, Bern baru-baru ini. 

Beliau menyatakan bahawa Switzerland dan China mempunyai hubungan baik sejak ikatan diplomatik terjalin kedua-dua negara lebih 70 tahun lalu. Syarikat pertama dari Switzerland yang mendirikan syarikat usaha sama dengan China ialah Schindler Group, iaitu pada 1980-an.

Perjanjian perdagangan bebas (FTA) dilaksanakan antara Switzerland dan China mulai tahun 2014. Guy Pamerlin percaya bahawa masih ada banyak potensi boleh diteroka pada masa akan datang demi kepentingan kedua-dua negara. 

Dalam hubungan Republik Rakyat China dengan dunia luar, Switzerland mempunyai makna istimewa. Ia antara negara Barat yang paling awal mengiktiraf republik ini. Pada peringkat awal zaman pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka oleh China, jam tangan dari Switzerland ialah antara produk pertama yang memasuki pasaran China. 

Pada tahun 2016, China dan Switzerland bersama-sama mengumumkan penjalinan hubungan perkongsian strategik inovasi China-Switzerland. Ini juga kali pertama China menjalinkan hubungan strategik berorientasikan inovasi dengan negara lain. 

Guy Pamerlin berkata, pada tahun 2019, Switzerland dan China menandatangani memorandum persefahaman (MoU) membabitkan inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk memperkasakan kerjasama di pasaran ketiga. 

Selain itu, Switzerland juga negara Eropah pertama yang menandatangani FTA dengan China, dan salah satu anggota pengasas Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB). 

"Melalui bank tersebut, kami dapat melakukan pelaburan di negara-negara yang terlibat dalam BRI. Sebagai contoh, Switzerland akan melabur di Uzbekistan untuk membaiki keadaan bekalan air di negara tersebut, yang dilaksanakan melalui AIIB. BRI adalah inisiatif untuk kemenangan bersama," ujar beliau.