Barat Gagal Jawab Global Selatan
Kemarahan negara-negara Selatan Global dalam isu Palestin menjadi topik yang paling mendesak dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN-Kesatuan Eropah Ke-24 (AEMM Ke-24) dan Forum Menteri Indo-Pasifik Kesatuan Eropah Ke-3 (EU-IPMF Ke-3) yang diadakan di Brussels, Belgium baru-baru ini.
“ASEAN dan EU harus berada di barisan hadapan dalam menghormati nilai dan prinsip undang-undang antarabangsa. Penghormatan juga harus diberikan kepada Palestin, kepada Gaza,” kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi dalam EU-IPMF Ke-3.
“Saya percaya bahawa EU dan kita semua, sebagai penyokong teguh menegakkan undang-undang antarabangsa, juga akan mempunyai kedudukan yang konsisten apabila ia berkaitan dengan Gaza,” tambahnya.
Berbanding kenyataan Retno yang masih kedengaran santun, Menteri Luar Sri Lanka, Ali Sabry secara terus terang mewakili sentimen Selatan Global mengecam akan sikap dwistandard EU terhadap perang di Palestin dan Ukraine.
“Anda perlu jujur pada hati anda dan melakukan perkara yang betul oleh semua orang kerana semua manusia penting,” tegas Sabry.
Menteri Luar Malaysia, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan pula mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman dan keganasan yang dilakukan oleh pihak penjajah, Israel, terhadap penduduk Wilayah Palestin yang diduduki. Beliau menyeru supaya gencatan senjata di Gaza dilaksanakan dengan serta-merta.
Mungkin sudah menjangka keadaan tersebut, tuan rumah tidak mengundang Amerika Syarikat agar tidak berlaku situasi yang memburukkan kemarahan Selatan Global, selain tidak mengundang China bagi mengelakkan kritikan lantang terhadap EU. Secara terus terang, ini umpama mesyuarat rutin yang terpaksa diadakan, berikutan ketidakhadiran dua anggota paling penting dalam EU, iaitu Menteri Luar dari Perancis dan Jerman.
Bukan hanya dalam isu Palestin, EU juga gagal menjawab keprihatinan Selatan Global. Misalnya, masalah minyat sawit dan peralihan tenaga. Dato’ Seri Utama Haji Mohamad telah menggesa ASEAN dan EU untuk memperkukuh kerjasama melalui rangka kerja saksama yang menitikberatkan isu-isu alam sekitar tanpa mengabaikan keperluan pembangunan negara. Beliau turut menyeru negara-negara maju untuk menyokong usaha negara-negara Selatan Global dalam melaksanakan peralihan tenaga kepada tenaga hijau.
Walau bagaimanapun, Barat hanya tahu mengemukakan piawaian, mengkritik negara-negara membangun berasaskan piawaian sendiri dan seterusnya mengenakan sekatan, bukan membantu menyediakan penyelesaian bagi negara-negara membangun. Namun, jika mereka sendiri yang melanggar piawaian tersebut, itu tidak menjadi masalah.
Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak menangguhkan beberapa langkah pengurangan pelepasan karbon, termasuk menangguhkan rancangan untuk menghalang penjualan kereta petrol dan diesel selama lima tahun pada bulan September tahun lalu. Menteri Dalam Negeri pada ketika itu, Suella Braverman, menjelaskan bahawa pihaknya tidak mungkin menyelamatkan bumi dengan meletakkan orang Britain dalam keadaan muflis.