Xi Berbual dengan Putin Menerusi Telefon

2024-02-09 12:19:56  cri
Share with:

Presiden China, Xi Jinping telah berbual dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Vladimir Putin menerusi telefon pada petang semalam.

Pemimpin kedua-dua negara saling menyampaikan salam dan memberi restu pada saat menjelang TBC 2024. 

Xi berkata, rakyat China mempunyai harapan dan keyakinan penuh terhadap "tahun naga" yang akan datang. 

Xi menegaskan bahawa kedua-dua negara perlu merapatkan kerjasama strategik, melindungi kedaulatan, keselamatan, hak dan kepentingan pembangunan negara masing-masing, menentang campur tangan dari sebarang kuasa luar terhadap urusan domestik masing-masing. Selain itu, kedua-dua pihak perlu menjana momentum baharu bagi mendorong kerjasama, melindungi kestabilan rantai industri dan pembekalan, dan bersama-sama menghalusi penganjuran Tahun Kebudayaan China-Rusia. 

Menurut Xi, China menyokong Rusia menyandang jawatan sebagai negara pengerusi bergilir BRICS 2024, bersedia bersama-sama Rusia untuk meningkatkan kerjasama multilateral antarabangsa, melaksanakan amalan multilateralisme yang tulen, menggalakkan multipolarisasi dunia yang sama rata serta teratur dan globalisasi ekonomi yang inklusif, dan mendorong sistem tadbir urus global berkembang ke arah yang lebih adil dan rasional supaya dapat memberi sumbangan positif terhadap pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan.

Sementara itu, Putin berkata bahawa naga melambangkan kebijaksanaan dan kekuatan dalam kebudayaan China. Beliau memberi salam dan restu kepada rakyat China dan semoga rakyat China hidup bahagia dalam suasana riang gembira sepanjang "tahun naga".

Putin menekankan, pihaknya bersedia meningkatkan kerjasama dengan China dalam kerangka pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO), dan saling menyokong serta melindungi amalan multilateralisme dan kepentingan milik masing-masing. Selain itu, Rusia konsisten mengamalkan prinsip Satu China, dan menentang sebarang tindakan berbahaya yang mencetuskan provokasi terhadap China dalam isu Taiwan.