Wang Yi Bertemu Menteri Luar Sepanyol

2024-02-20 14:18:15  CRI
Share with:

China dan Sepanyol harus mengukuhkan komunikasi strategik, mempertingkat pertukaran lawatan peringkat tinggi, memperdalam kerjasama pragmatik dan melonjakkan lagi pembangunan hubungan bilateral.

Demikian ujar Menteri Luar China Wang Yi semasa bertemu rakan sejawatnya dari Sepanyol Jose Manuel Albares di bandar Cordoba di selatan Sepanyol pada Ahad.

Wang berkata China bersedia bersama Sepanyol memandang hubungan dua hala dengan visi global dari perspektif jangka panjang, memupuk rasa saling percaya dan situasi sama menang, mengekalkan kestabilan strategik dan kerjasama pragmatik, serta memastikan jalinan China-Sepanyol berada di barisan hadapan hubungan China-Eropah.

Pasaran China berkembang pesat dalam skop yang semakin diperluas dan akan terus dibuka kepada dunia, kata Wang sambil menambah bahawa China mengalu-alukan pengimportan pelbagai produk berkualiti dari Sepanyol.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk bersinergi dengan Sepanyol dalam menegakkan keterbukaan dan untung bersama, selain saling memberi sokongan padu untuk menjayakan kerjasama yang saling menguntungkan.

Wang menambah, dua negara akan berusaha ke arah membina ekonomi dunia terbuka dan memajukan globalisasi ekonomi yang terangkum dan menguntungkan semua.

Dalam pada itu, Albares berkata pihaknya menyokong perdagangan terbuka dan bebas, mengalu-alukan pelaburan China dan akan menyediakan persekitaran perniagaan yang adil dan kondusif untuk perusahaan dari negara lain.

Antara hasil pertemuan lain termasuk dua negara bersetuju memperkasa kolaborasi dalam bidang telekomunikasi, perubatan, kenderaan elektrik dan tenaga hijau serta mengukuhkan lagi persahabatan sesama rakyat.