China Seru Teguh Pelihara Sistem Antarabangsa Berteraskan PBB

2024-02-22 13:04:38  CRI
Share with:

China menyeru supaya masyarakat antarabangsa teguh memelihara sistem antarabangsa berteraskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan memastikan PBB memainkan peranan utama dalam urusan global.

Seruan itu dibuat menerusi Naib Wakil Tetap China ke PBB, Dai Bing ketika menyampaikan ucapan pada sesi debat umum sidang tahunan Jawatankuasa Khas Piagam PBB dan Pengukuhan Peranan PBB di New York, Selasa.

Dai menyatakan berdepan cabaran global yang tidak pernah dilihat sebelum ini, adalah lebih penting untuk mempraktikkan multilateralisme jitu dan berdiri teguh menjaga orde bersandarkan undang-undang antarabangsa serta norma asas hubungan antarabangsa berlandaskan Piagam PBB.

Beliau berkata China sentiasa mengamalkan dasar luar yang bertujuan melindungi keamanan dunia dan menggalakkan pembangunan bersama.

China mengemukakan Inisiatif Keselamatan Global sebagai mewarisi dan menyemarakkan semangat Piagam PBB, dengan menegakkan konsep keselamatan yang komprehensif, bersifat bekerjasama dan mampan. 

Ia sekali gus menyediakan formula penyelesaian bagi merungkai masalah keselamatan yang dihadapi dunia ketika ini.

Inisiatif itu terus dilaksanakan menerusi tindakan praktikal apabila China berjaya menggerakkan kelulusan resolusi pertama mengenai konflik Palestin-Israel oleh Majlis Keselamatan PBB, dan menyiarkan dokumen yang memperincikan pendiriannya berhubung penyelesaian konflik berkenaan secara politik.