China Ulangi Gesaan Wujud Gencatan Senjata di Gaza

2024-02-23 13:31:19  CRI
Share with:

China menggesa supaya Israel menghentikan operasi ketenteraan di Rafah, memastikan akses kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza, sedaya upaya mengelak konflik daripada merebak dan menghidupkan semula prospek politik 'penyelesaian dua negara'.

Gesaan itu diulangi Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zhang Jun ketika berucap pada mesyuarat Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengenai isu Palestin-Israel pada Khamis. 

Zhang berkata UNSC sekali lagi terlepas peluang untuk menggerakkan gencatan senjata di Gaza susulan penggunaan kuasa veto oleh Amerika Syarikat (AS).

"Tugas mendesak ketika ini adalah mewujudkan gencatan senjata serta-merta bagi menyelamatkan nyawa rakyat yang tidak bersalah dan mengelak tercetusnya perang berskala lebih besar.

"Ia adalah seruan masyarakat antarabangsa dan juga konsensus majoriti anggota UNSC," ujar Zhang.

Beliau menegaskan UNSC perlu menunjukkan keazaman yang kuat, bukan hanya kemahiran perundingan. 

Israel didesak supaya segera memberhentikan tindakan menghakis asas 'penyelesaian dua negara', pelan pemindahan paksa rakyat Palestin, serta operasi menyelongkar, menangkap dan menyerbu di Tebing Barat.

China menyokong Palestin menganggotai PBB secepat mungkin, dan menyeru persidangan damai antarabangsa yang berskop lebih besar, lebih berwibawa dan efektif dianjurkan ke arah mendorong penyelesaian isu Palestin secara menyeluruh, adil dan berkekalan.