Presiden Xi Balas Surat kepada Pelajar Sekolah Menengah AS

2024-02-25 15:22:37  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping membalas surat kepada pelajar-pelajar Sekolah Menengah Muscatine Amerika Syarikat (AS) yang melakukan lawatan ke China pada Jan, pada Sabtu, iaitu sambutan pesta Cap Goh Mei. Beliau juga memberikan kad ucapan selamat Tahun Baharu Cina (TBC). 

Dalam surat itu, beliau mengucapkan selamat hari perayaan kepada guru dan pelajar sekolah itu, di samping menggalakkan lebih ramai remaja AS untuk datang ke China bagi mengikuti sesi pertukaran dan pembelajaran.

Xi mengatakan, terdapat pepatah China yang menyebut bahawa "melihat lebih baik daripada mendengar walau seratus kali". Ketika beliau buat kali pertama melawat AS pada tahun 1985, rakyat yang peramah dan mesra di negara itu memberikan kesan yang mendalam kepada beliau. 

Xi yakin lawatan para pelajar dari Sekolah Menengah Muscatine ke China akan membolehkan guru dan pelajar di sekolah itu memperoleh penahaman yang lebih langsung dan mendalam terhadap China dan rakyatnya. 

Beliau mengalu-alukan guru dan pelajar dari sekolah itu datang ke China lagi pada masa nanti dan mengalu-alukan lebih ramai remaja AS datang ke China untuk belajar dan mengadakan pertukaran dengan remaja China, melihat China dengan mata sendiri, serta berkawan dengan remaja China agar menyumbangkan tenaga untuk meningkatkan hubungan persahabatan antara rakyat kedua-dua negara.

Untuk rekod, semasa lawatan ke AS pada Nov 2023, Presiden Xi mengumumkan bahawa pihak China akan mengundang 50,000 remaja AS datang ke China untuk sesi pertukaran dan pembelajaran dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Sebagai kumpulan pertama bagi program itu, lebih 20 orang pelajar dari Sekolah Menengah Muscatine mengadakan kunjungan dan pertukaran di China pada 24 hingga 30 Jan lalu. Setelah kunjung itu berakhir, para pelajar mengirim surat kepada presiden Xi, berkongsi kegembiraan dalam kunjungan itu serta mengucapkan terima kasih kepada beliau yang mengundang mereka ke China.