Rundingan Gencatan Senjata Gaza Diteruskan
Delegasi Israel dan Hamas bertemu secara berasingan dengan pihak pengantara di Doha, Qatar pada Isnin untuk rundingan tidak langsung.
Menurut akhbar The Times of Israel, delegasi Israel sedang mengkaji butiran rundingan termasuk perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tahanan.
Israel berkata jika perjanjian gencatan senjata dicapai, pihaknya bersetuju menggantung tindakan permusuhan bagi memastikan pembebasan tahanan dijalankan. Bagaimanapun, tentera Israel tidak akan menghentikan sepenuhnya operasi darat sebelum Hamas ditewaskan.
Anggota kanan Hamas Sami Abu Zuhri berkata pembebasan tahanan hanya sebahagian daripada formula penyelesaian yang lebih luas.
Antara aspek penting yang menjamin persetujuan gencatan senjata dicapai termasuk Israel mengakhiri operasi ketenteraan dan mengundurkan anggota tentera, menamatkan pendudukan terhadap wilayah Palestin, membolehkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat berteduh pulang ke rumah, memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza serta menggerakkan pembinaan semula rumah kediaman penduduk tempatan.