Dusta Tetap Dusta

2024-02-27 15:20:59  CRI
Share with:

Mutakhir ini, Pejabat Perwakilan Perdagangan Amerika Syarikat (USTR) menyiarkan laporan yang menafikan prestasi China memenuhi komitmen dalam Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dan memfitnah sistem serta dasar ekonomi China membawa cabaran besar kepada perdagangan global.

Nak guna satu laporan untuk mengelirukan yang betul dan yang salah? AS memanglah salah hitung kerana fakta jelas terpapar. 

AS menggunakan piawaian yang ditetapkan sendiri untuk menilai pematuhan China terhadap WTO, bukan mengikut peraturan WTO atau protokol dan laporan kumpulan kerja mengenai keanggotaan China dalam pertubuhan itu.

Meneliti isi laporan USTR, AS mengabaikan sepenuhnya langkah diambil negara Tembok Besar bagi memenuhi komitmennya terhadap WTO serta kemajuan yang dicapai.

Sejak menganggotai WTO, tahap keseluruhan tarif China menurun kepada 7.3 peratus pada 2023 berbanding 15.3 peratus pada 2001, dan paras purata tarif bagi produk pertanian jauh lebih rendah daripada anggota membangun dan anggota maju.

Sementara itu, semua langkah bukan tarif seperti kuota import dan lesen import telah pun dibatalkan selaras komitmen dibuat ketika menganggotai WTO.

Dalam laporan AS itu, pendekatan perdagangan China yang sah diputarbelit menjadi 'tekanan ekonomi' manakala tindak balas China terhadap sekatan dan penindasan AS disifatkan sebagai amalan 'cantas hubungan'.

Hakikinya, AS setakat ini mengenakan sekatan ekonomi secara unilateral ke atas hampir 40 buah negara, mengakibatkan hampir separuh penduduk dunia terjejas.

Bertopengkan 'keselamatan',  kerajaan AS melakukan 'cantas hubungan' secara menyeluruh dalam sektor ekonomi dan perdagangan serta sains dan teknologi hingga membantutkan pemulihan ekonomi sejagat.

Dusta tetap dusta walau diulang seribu kali. Tak kira macam mana USTR mereka-reka laporan, ia tidak dapat mengubah sifatnya sebagai laporan politik dan penuh maklumat palsu.

Terbukti bahawa China bukan sekadar memenuhi sepenuhnya komitmen dalam WTO, malah merupakan negara berprestij dalam mempertahankan peraturan WTO, menggerakkan transformasi sistem ekonomi dan perdagangan global serta mempraktikkan multilateralisme jitu.