China Gesa Lagi Gencatan Senjata Diwujudkan di Gaza Demi Bantuan Kemanusiaan

2024-02-28 12:35:45  CRI
Share with:

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) atas tuntutan beberapa negara termasuk Algeria, Guyana, Switzerland dan Slovenia telah mengadakan satu sidang bagi membincangkan isu kemanusiaan  terutamanya masalah makanan di Genting Gaza. Dalam sidang itu, kuasa usaha sementara Misi Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Dai Bing menyeru lagi supaya gencatan senjata segera diwujud di Gaza agar barangan bantuan kemanusiaan dapat dihantar masuk ke kawasan itu.

Dai menyatakan bahawa China menghargai dan menyokong usaha PBB dan agensi kemanusiaan terbabit yang memainkan peranan penting dalam mengurangkan bencana kemanusiaan di Gaza. Sejak tercetusnya konflik di Gaza pada lebih empat bulan lalu, hampir 30,000 orang awam telah terkorban, dan Gaza sedang menghadapi bencana kemanusiaan yang tiada tolok banding sebelum ini. 

Dai Bing berkata, walaupun UNSC telah meluluskan beberapa resolusi kemanusiaan, rakyat Gaza tetap sukar dalam menerima barangan bantuan kemanusiaan ekoran halangan yang direka-reka. China menyeru Israel bertindak tulen melaksanakan kewajipan pihak penakluk yang termaktub dalam Konvensyen Geneva, mengadakan kerjasama dari segenap aspek untuk menguatkuasakan resolusi UNSC, membuka semua laluan darat, laut dan udara untuk menjamin kemasukan barangan kemanusiaan dengan selamat dan cepat.

Dai menekankan lagi bahawa China akan bersama masyarakat antarabangsa bertindak konsisten untuk memulihkan kedamaian, menyelamatkan nyawa, menamatkan pertempuran dan melaksanakan 'rancangan dua negara' sehingga mencapai keamanan yang berkekalan di Asia Barat.