China Kekal Destinasi Tumpuan Pelabur Asing
China terus menjadi destinasi tumpuan bagi pelabur asing di tengah-tengah kelembapan pertumbuhan ekonomi serta aktiviti pelaburan di peringkat global.
Status itu berjaya dikekalkan apabila bulan Januari menyaksikan sebanyak 4,588 lagi syarikat asing ditubuhkan di China, meningkat 74.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pada bulan Januari, syarikat Volkswagen merasmikan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) di China, sekali gus menjadi pusat seumpama terbesarnya di seberang laut.
Dengan menelan pelaburan hampir 1 bilion euro (RM5.16 bilion), projek itu bukan sahaja meningkatkan kecekapan Volkswagen dalam pembangunan produk, malah mengoptimumkan struktur kos mereka.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Volkswagen China, Ralf Brandstatter berkata pihaknya sedang berusaha mengintegrasikan diri secara menyeluruh dalam ekosistem industri China supaya dapat menghasilkan lebih banyak produk yang memenuhi keperluan pelanggan tempatan.
Hasil tinjauan oleh HSBC mendapati 87 peratus responden merancang meluaskan perniagaan di China disebabkan pemulihan ekonominya berterusan, pasaran raksasa serta rantaian bekalan yang bersepadu.
Menurut laporan Majlis Penggalakan Perdagangan Antarabangsa China (CCPIT), hampir 70 peratus syarikat asing yang ditinjau optimisitik terhadap pasaran China dalam tempoh lima tahun seterusnya, dan lebih 90 peratus menjangkakan margin untung daripada pelaburan di China akan mengekalkan atau melebihi paras yang dicatat pada masa ini.
Penganalisis berkata hasil daripada pelaksanaan dasar dan inisiatif berkenaan, daya tarikan pasaran China bagi pelabur asing dijangka terus meningkat pada masa hadapan.