Di Mana Letaknya Hati Nurani Politikus AS?

2024-03-01 15:17:40  CRI
Share with:

Berikutan kematian seorang askar Amerika Syarikat (AS) yang membakar diri di luar Kedutaan Israel di Washington DC, satu artikel disiarkan laman sesawang ‘Politico’ berbunyi bahawa tiada peristiwa lebih simbolik yang dapat menunjukkan rasa tak puas hati makin meluap-luap dalam kalangan masyarakat terhadap dasar AS berkaitan Israel.

Menurut artikel berkenaan, selepas peristiwa itu gelombang kemarahan di dalam kerajaan AS semakin memuncak.

Aaron Bushnell, 25, seorang anggota aktif Tentera Udara AS, meninggal dunia pada Isnin selepas membakar diri di hadapan Kedutaan Israel sebagai membantah perang di Gaza.

Dalam video yang disiarkan di internet, lelaki itu mengisytiharkan bahawa dia tidak akan terlibat lagi dalam pembunuhan beramai-ramai. Bushnell kemudian menyiram dirinya dengan cecair jernih dan membakar diri sambil menjerit 'Bebaskan Palestin' beberapa kali.

Apa sebenarnya berlaku di sebalik tragedi itu? Menurut sumber kawan Bushnell, sehari sebelum insiden membakar diri, Bushnell pernah mengatakan tentera AS terlibat secara langsung dalam pembunuhan beramai-ramai menyasar rakyat Palestin.

Sejak sekian lama, kerajaan AS mengamalkan sikap pilih kasih dalam isu Palestin-Israel.

Apabila tercetusnya pusingan baharu konflik Palestin-Israel, masyarakat antarabangsa semakin bimbang terhadap pertempuran yang bertambah sengit, dengan lantangnya suara supaya gencatan senjata dilakukan.

Selaku sebuah kuasa berpengaruh penting di Asia Barat, apakah yang dilakukan AS?

Daripada mengerahkan lebih banyak anggota tentera ke Asia Barat, membekalkan sejumlah besar bantuan ketenteraan kepada Israel, hingga berulang kali memveto resolusi desakan gencatan senjata oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), perbuatan AS seperti menuang minyak ke dalam api. 

Ia menyebabkan keadaan kemanusiaan di Gaza bertambah buruk, sekali gus mengheret situasi Gaza ke dalam kancah berbahaya.

Seorang sarjana AS, David Cortright menilai kelakuan Bushnell dengan mengatakan askar muda itu cuba membangkitkan hati nurani orang ramai menerusi tindakan mengorbankan diri.

Hal ini turut membunyikan penggera amaran kepada politikus AS supaya jangan menginjak-injak hak asasi manusia dengan bertopengkan 'hak asasi' ataupun membiarkan ‘penyelesaian dua negara’ di luar jangkauan.