Tentara China Ikrar Tindak Balas Tegas terhadap Provokasi di LCS

2024-03-01 13:55:59  CRI
Share with:

China berikrar bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang tindakan provokatif di Laut China Selatan (LCS), menurut Kementerian Pertahanan.

Jurucakapnya, Zhang Xiaogang membuat kenyataan itu susulan Pengawal Pantai Filipina mendakwa kapal China membelakangi Peraturan Antarabangsa bagi Mengelak Perlanggaran di Laut (COLREGS) dengan menghampiri kapal Filipina yang meronda di sekitar Pulau Huangyan.

Zhang berkata tindakan Filipina melobi negara luar rantau mengacau-bilaukan situasi LCS melanggar semangat Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di LCS serta menjejaskan keamanan dan kestabilan serantau.

Selaku pihak bukan berkepentingan, AS patut mematuhi komitmen tiada pendirian dalam isu berkenaan, dan menghentikan campur tangan atau cubaan membuat kacau.

Beliau menegaskan, China mempunyai kedaulatan yang tidak boleh dipertikaikan ke atas Pulau Huangyan dan perairan sekitarnya.

Kapal Filipina didapati berkali-kali menceroboh masuk kawasan perairan berhampiran Pulau Huangyan. 

Pihak berkuasa China memberi amaran mengarahkan kapal terbabit keluar mengikut undang-undang, kata Zhang sambil menambah bahawa tindak balas berkenaan dilaksanakan secara profesional dan standard.

Zhang turut berkata operasi penguatkuasaan undang-undang akan diteruskan di perairan berkenaan dalam usaha mempertahankan kedaulatan negara serta hak dan kepentingan maritim.