Tenaga Solar Menjadi Kuasa Produktif Kualiti Baharu China

2024-03-06 16:44:03  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping yang menjadi Wakil Kongres Rakyat Kebangsaan China Ke-14 dari provinsi Jiangsu, menyertai perbincangan delegasi Jiangsu buat tahun kedua semalam .

 

Dalam perbincangan tahun lalu, Presiden Xi menegaskan bahawa mewujudkan sains dan teknologi tinggi yang bebas adalah asas untuk menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi. Tahun ini, beliau menggesa Jiangsu mengembangkan kuasa produktif kualiti baharu berasaskan keadaan tempatan. Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan perkara ini tidak bermakna perubahan yang tergesa-gesa atau mengikuti satu model sahaja.

 

Dalam bidang ini, Jiangsu mempunyai pengalaman yang pahit dan manis.

 

Syarikat SUNTECH yang ditubuhkan di Wuxi, kampung halaman Satria pada 2001 adalah syarikat tenaga solar pertama di China. Dalam tempoh 10 tahun, SUNTECH berkembang menjadi pembekal fasiliti tenaga solar terbesar di dunia, dan banyak mengeksport ke Eropah.

 

Bagaimanapun, hal ini juga dilihat sebagai cabaran dan ancaman oleh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat. Mereka bersama-sama melaksanakan “siasatan anti-lambakan dan anti-subsidi”. Fasiliti tenaga solar dari China dikenakan tarif tambahan yang tinggi dan menyebabkan SUNTECH bankrap pada tahun 2013.

 

Jika diteliti keruntuhan SUNTECH, selain unsur luar, syarikat tenaga solar China pada masa itu kurang berupaya menghadapi cabaran kerana bahan mentah, pasaran malah kebanyakan teknologi dari Barat.

 

Namun, dunia telah menyaksikan lebih banyak syarikat tenaga solar sekali lagi bangkit 10 tahun selepas itu.

 

SUNTECH meninggalkan rantaian bekalan serta tenaga kerja berpengalaman yang amat lengkap kepada sektor tenaga solar China. Syarikat-syarikat lain menimba pengalaman daripada SUNTECH, dan lebih mengutamakan inovasi berdikari.

 

Wakil Kongres Rakyat Kebangsaan China dari Jiangsu, yang juga pengasas syarikat Trinasolar, Gao Jifan memberitahu media bahawa dengan adanya teknologi sendiri, Trinasolar telah mengetuai penetapan standard antarabangsa pertama yang dikemukakan oleh sektor tenaga solar China. Pelbagai syarikat tenaga solar China pula sedang meneroka beberapa teknologi generasi baharu dalam sektor ini.

 

Dalam bidang bahan mentah, Xinjiang pula telah menjadi pangkalan bekalan yang penting di pasaran antarabangsa.

 

Melalui usaha kukuh China untuk mewujudkan pelepasan karbon dioksida mencapai puncak sebelum tahun 2030, dan matlamat karbon neutral menjelang tahun 2060, pasaran domestik menjadi pasaran penting bagi pelbagai syarikat solar China. Padang pasir yang dulu dilihat sebagai halangan pembangunan ekonomi, kini menjadi pusat penjana tenaga solar.

 

Jika 1% padang pasir di China dipasang panel solar, tenaga yang dijana mampu memenuhi keperluan penduduk seluruh China. Yang lebih menarik, kami mendapati panel solar menghalang penyejatan di padang pasir yang membolehkan tumbuh-tumbuhan muncul di bawah panel solar, dan mampu memenuhi keperluan penternakan kambing.

 

Tindakan sekatan oleh Kesatuan Eropah dan AS tetap menyasarkan China. Pada bulan Jun lalu, pegawai kanan sebuah syarikat tenaga solar China ditangkap oleh polis Jerman di Lapangan Terbang Munich ketika datang untuk mnghadiri Ekspo Intersolar Eropah. Tapi Barat pula kini kurang berupaya untuk menyekat syarikat China menyediakan fasiliti tenaga solar yang berkualiti lagi murah kepada seluruh dunia.

 

China turut meneroka pasaran di Asia Tenggara dan Afrika, termasuk berusaha membantu negara-negara membangun mendapat bekalan tenaga yang terjamin dan bersih. Misalnya di Gaza, bekalan elektrik daripada loji jana kuasa tempatan dan Israel serta Mesir kerap kali terputus. Syarikat China telah menyediakan banyak fasiliti tenaga solar kepada Gaza sehingga penjana tenaga solar pernah menduduki 1/4 daripada bekalan elektrik tempatan, menyediakan sumber tenaga yang sukar disekat untuk penduduk Palestin.

 

Tenaga solar bukan sektor yang baru muncul. Bagaimanapun, dengan adanya kuasa teknologi, bekalan bahan mentah dan pasaran sendiri, tenaga solar kini menjadi kuasa produktif kualiti baharu yang bakal terus menjana ekonomi China.