China Patut Jadi Pilihan Utama bagi Malaysia: Sarjana
Malaysia mempunyai hubungan yang erat dengan China sejak lima dekad lalu dan hubungan itu cukup mendalam dengan melibatkan pelbagai aspek termasuk juga budaya.
Demikian dinyatakan Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai dari Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak).
Menyentuh mengenai kritikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap desas-desus 'China-phobia', Dr. Barjoyai berkata ramalan bahawa China akan menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia telah menggugat kedudukan Amerika Syarikat (AS).
“Bagi Malaysia yang berada di tengah-tengah Barat dan Timur, kita dengan jelas memilih Timur, kerana lebih dekat dan perlu merapatkan hubungan dengan negara serantau,
“China sepatutnya menjadi pilihan utama, bukan sahaja dalam bidang perdagangan, tetapi juga pelaburan dan lain-lain,” kata beliau dalam program Agenda Awani Asia kendalian Astro AWANI baru-baru ini.
Ketika mengulas mengenai prospek perdagangan antara Malaysia dan China, Dr. Barjoyai menganggap hubungan perdagangan dua hala itu amat mendalam.
Menurut beliau, selain mengeksport pelbagai jenis barangan seperti produk elektronik, pertanian serta besi dan keluli, Malaysia juga mengimport teknologi dari China, termasuk teknologi dalam bidang pengeluaran kenderaan.
“Ia semua akan menjadi asas kepada perubahan sektor pengimportan dan pengeksportan di mana Malaysia akan menjadi sebuah negara baru dalam arena teknologi," ujar beliau.