“Jeneral Pokok” dan Askarnya

2024-03-12 16:14:50  CRI
Share with:

Zhang Lianyin, seorang veteran tentera yang digelar sebagai “Jeneral Pokok” meninggal dunia dalam usia 80 tahun baru-baru ini.

 

Veteran yang bersara pada 2003 dengan pangkat jeneral dalam PLA ini kembali ke kampung halamannya di Provinsi Shanxi, salah satu tempat asal bencana ribut pasir yang kerap kali melanda Beijing. Beliau, menggunakan semua simpanannya, dan bersama dengan ahli keluarga menanam lebih 2.2 juta pokok. Hasrat terakhir beliau agar abu tulangnya disemadikan di kawasan padang pasir yang kini telah menjadi hutan hasil usaha selama 20 tahun beliau.

 

Sebenarnya, ramai antara kita juga adalah “askar pokok”. Hari ini adalah Hari Menanam Pokok Kebangsaan China Ke-46. Dalam tempoh lebih 40 tahun yang lalu terdapat lebih 17.5 bilion orang telah menyertai aktiviti wajib menanam pokok, dan menanam lebih 78 bilion pokok. Dengan usaha begitu ramai “askar pokok” dan “jeneral pokok” ini, kadar  litupan hutan di China meningkat daripada 12% kepada lebih 23%.

 

Kawasan gurun pernah meliputi kira-kira 30% daripada keseluruhan wilayah China. Hingga tahun 2000, kawasan gurun bertambah 10,400 km persegi pada setiap tahun. Bagaimanapun, sejak 2017, keluasan padang pasir di China berkurang 2,400 km persegi setiap tahun.

 

Tianmo atau “Padang Pasir Langit” adalah padang pasir paling dekat dengan Beijing. Pada 20 tahun yang lalu, keluasannya kira-kira 67 km persegi. Banyak penggambaran filem yang memaparkan pemandangan padang pasir dilakukan di sini, termasuk “The Mummy 3”. Namun, keluasan padang pasir ini berjaya terkawal sehingga hanya tinggal 0.04 km persegi pada masa ini. Kawasan ini bahkan menjadi destinasi pelancongan berikutan Karnival Muzik Tianmo yang diadakan pada setiap tahun, membantu menarik ramai pelancong.

 

Pengawalan masalah penggurunan di China kini banyak menggunakan teknologi baharu, seperti dron dan industri hijau yang melibatkan tenaga fotovolta dan angin. Misalnya, dengan memasang panel fotovolta di padang pasir, bukan sahaja menyediakan tenaga yang bersih, malah mengurangkan penyejatan dan membolehkan tumbuh-tumbuhan tumbuh di bawah panel fotovolta. Selain itu, pemasangan panel fotovolta ini juga mampu memenuhi keperluan penternakan kambing.

 

Penanaman pokok secara besar-besaran di China membantu mengurangkan karbon dioksida, meredakan pemanasan global, melindungi kepelbagaian biologi, menyumbang kepada faedah ekonomi, dan juga memberikan pengalaman kepada dunia dalam usaha mengatasi masalah perubahan iklim.

 

Sejak 2008, Liga Afrika turut menimba pengalaman daripada China dan mulai membina “Tembok Besar Hijau”. Sebelas buah negara Afrika menubuhkan Agensi Tembok Besar Hijau Pan Afrika untuk mengubah ekologi tempatan. Meskipun projek mega ini berkembang perlahan, China telah menyediakan bantuan yang banyak, termasuk kursus untuk pegawai dan pekerja profesional.

 

Perkara ini sekali lagi mencerminkan usaha menghadapi perubahan iklim adalah cabaran global dan kerjasama, khususnya sokongan dari negara maju sangat diperlukan.