Duta China Bawa Saranan Pemerkasaan OKU di Pentas PBB

2024-03-13 15:11:15  CRI
Share with:

China sentiasa mengutamakan usaha pemerkasaan orang kelainan upaya (OKU) dengan penguatkuasaan lebih 90 undang-undang bagi menjamin hak dan kepentingan golongan berkenaan.

Demikian ujar wakil tetap China ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan pertubuhan antarabangsa lain di Switzerland, Chen Xu ketika berucap pada mesyuarat sampingan sempena ulang tahun ke-10 mekanisme Pelapor Khas mengenai Hak OKU pada Selasa.

Chen berkata China mewujudkan sistem subsidi yang meliputi lebih 27 juta warga OKU, selain memperkenalkan program khas bagi mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada wanita kurang upaya.

Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-20 Konvensyen mengenai Hak OKU (CRPD).

Beliau menyatakan China bersedia bersama semua pihak menghapuskan kesulitan didepani golongan OKU menerusi tindakan konkrit bagi memastikan sasaran 'tiada seorang pun ketinggalan' dicapai.

Duta China itu turut mengemukakan tiga saranan untuk memperkasakan hak OKU, yakni menggalakkan keterangkuman serta menghapuskan prasangka dan diskriminasi terhadap golongan itu; mempercepat pembinaan kemudahan bebas halangan dan mesra warga emas serta menyempurnakan sistem bantuan; menggalakkan pekerjaan dan keusahawanan OKU serta memastikan mereka terlibat dalam urusan ekonomi, sosial dan budaya secara sama rata.

Mesyuarat sampingan itu dianjurkan bersama oleh Misi Tetap China ke Pejabat PBB di Geneva dan pertubuhan antarabangsa lain di Switzerland, Pelapor Khas mengenai Hak OKU Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (OHCHR), Misi Tetap Mexico, New Zealand dan Finland ke Geneva, serta Wanita PBB.

Lebih 100 orang pegawai diplomat, wakil institusi antarabangsa dan pertubuhan bukan kerajaan serta pengamal media menyertai mesyuarat berkenaan secara hibrid.