Hainan Sasar Jadi Pusat Kerjasama Pertanian Tropika Global: Wakil NPC

2024-03-14 15:59:32  CRI
Share with:

Provinsi Hainan terus memperkasa inovasi teknologi dalam sektor pertanian tropika, di samping berusaha memartabatkan diri sebagai pusat pertukaran dan kerjasama bagi industri pertanian tropika global.

Demikian dinyatakan wakil Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC), He Qiongmei yang juga Pengarah Jabatan Pembangunan Luar Bandar Hainan sempena sesi kedua NPC ke-14 yang berlangsung di Beijing baru-baru ini.

Hainan menyasarkan untuk membina sistem dasar dan keinstitusian pelabuhan perdagangan bebas (FTP) pada peringkat awal menjelang 2025 dan membangunkan FTP bertaraf tinggi menjelang pertengahan abad ini.

He Qiongmei berkata, dengan mengambil peluang daripada penubuhan FTP, Hainan giat membawa masuk teknologi pertanian dan pengalaman pengurusan maju antarabangsa bagi mendorong pengantarabangsaan industri pertanian tempatan, serta memacu pembangunan luar bandar.

Menurut beliau, Hainan telah menawarkan program latihan untuk lebih 5,000 individu dari 99 buah negara.

Zon demonstrasi kerjasama pertanian ekologi tropika China (Hainan)-Kemboja yang ditubuhkan di Kemboja turut menggerakkan kerjasama China dengan negara berkenaan dalam industri pertanian.