CMG Hoskan Dialog Media Global di Chicago

2024-03-15 12:07:38  CRI
Share with:

Kumpulan Media China (CMG) menjadi tuan rumah Dialog Media Global di Universiti Chicago di Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Dianjur bersama Dewan Perniagaan Am China-AS Chicago (CGCC-Chicago), acara itu menghimpunkan hampir seratus tetamu dari kalangan politik, perniagaan dan akademik untuk membincangkan topik-topik antaranya kerjasama China-AS dalam ekonomi dan perdagangan, pertukaran pendidikan, peluang pasaran China dan prospek perindustrian.

Presiden CMG Shen Haixiong berucap menerusi rakaman video dengan menekankan pentingnya usaha China dalam mengembangkan kuasa produktif kualiti baharu dan mewujudkan pembangunan berkualiti.

Beliau memetik hasil tinjauan oleh Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) sebagai berkata, 93.1 peratus responden global berpendapat bahawa ekonomi China berdaya tahan dan mempunyai potensi besar.

Shen menyatakan CMG komited untuk membina jambatan supaya rakyat China, AS dan seluruh dunia dapat melakukan pertukaran dan komunikasi, mencari titik persamaan sambil mengekalkan perbezaan, dan mewujudkan komuniti berkongsi nasib.

Dalam pada itu, Duta Besar China ke AS Xie Feng berkata dunia menyaksikan usaha gigih China dalam pembangunan berkualiti tinggi melalui 'dua sesi' iaitu persidangan tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) dan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) yang baru sahaja berakhir.

"China kekal sebagai destinasi popular bagi pelaburan global. Ramai yang percaya bahawa 'memeluk China' bermakna mendakap peluang dan melabur di China bermakna melabur untuk masa hadapan," kata beliau menerusi pautan video.

Sementara itu, bekas Duta Besar AS ke China Max Baucus menyifatkan acara berkenaan mencipta peluang baik kepada AS dan China untuk mengadakan dialog secara konstruktif.

Menurut beliau, dua negara harus menghormati antara satu sama lain, mencari titik persamaan dan menerima perbezaan serta menemui pendekatan dan cara untuk memupuk jalinan kerjasama.