China, Republik Congo Buahkan Hasil Mengagumkan dalam Kerjasama 60 Tahun

2024-03-18 14:55:37  CRI
Share with:

Tahun ini ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Republik Congo-China. Sejak tahun 1964, rakyat kedua-dua negara ini mula memperjuangkan matlamat yang sama berkaitan pembebasan, pembangunan dan kesejahteraan rakyat, dan turut membuahkan hasil yang mengagumkan melalui langkah-langkah yang konkrit.  

Demikian dikatakan Presiden Republik Congo, Sassou Nguesso ketika bertemu bual dengan wartawan Kumpulan Media China (CMG) di Brazzaville pada bulan Februari lalu.

"Kami bekerjasama dengan China dalam pelbagai bidang seperti pembinaan jalan, loji janakuasa elektrik hidro dan empangan, selain perubatan dan kesihatan, pertanian, penternakan dan sebagainya.

"Dalam perbincangan dengan pemimpin negara Afrika lain mengenai pembinaan bersama  di bawah Inisiatif  Jalur dan Laluan (BRI), kami mengemukakan bahawa bolehlah membina satu lebuh raya yang berperanan menyambungkan Lautan Hindi dengan Lautan Atlantik," kata Sassou Nguesso. 

"Rancangan ini sedang dilaksanakan. Kami menganggap bahawa hanya dengan adanya infrastruktur sedemikian, barulah dapat membina Zon Perdagangan Bebas Benua Afrika. Inilah kemajuan yang dicapai Afrika berkat pelaksanaan BRI.  

"Dengan adanya pembinaan infrastruktur, Afrika barulah dapat memacu pembangunan industri dan perdagangan dengan pelbagai negara di dunia. Pelaksanaan BRI boleh diselaraskan dengan pembinaan Zon Perdagangan Bebas Benua Afrika untuk menggalakkan perdagangan dalaman di benua Afrika, di samping menggerakkan perdagangan antara Afrika dengan tempat lain di dunia termasuk China, " ujar Sassou Nguesso.

Forum Kerjasama China-Afrika 2024 akan diadakan di China. 

Sehubungan itu, Sassou Nguesso berkata, "Kami amat optimis. Kami yakin, Afrika dan China akan mencetuskan anjakan lebih besar semasa berlangsungnya persidangan Forum tahun ini yang bakal dihoskan China. Kami berharap maju bersama-sama berdasarkan kerjasama dengan China untuk jangka panjang."