China Semakin Terbuka Terhadap Modal Asing
BNP Paribas, pemegang saham terbesar Bank Jiangsu China telah membeli lagi 0.77% saham bank tersebut pada Februari lalu. Ia dilihat selari dengan tindakan China yang membatalkan kuota saham modal asing dalam sektor bank dan insurans sejak Januari tahun ini. Statistik pegangan modal asing di bursa saham China menyaksikan penambahan bersih pada bulan Februari.
Untuk rekod, kuota saham modal asing dalam sektor broker saham telah dibatalkan sejak tahun 2020. Inisiatif tersebut sekaligus memberi peluang kepada Goldman Sachs dan Morgan Stanley untuk menambah kuota saham mereka di China. Malah difahamkan setakat ini banyak broker saham yang dulu dikawal oleh China telah menjadi syarikat modal asing.
Baru-baru ini juga China telah membatalkan sekatan terhadap modal asing bagi sektor pembuatan secara menyeluruh. Misalnya pada sekitar 1980-an, Audi, Volkswagen, BMW, dan pelbagai jenama asing lain yang memasuki pasaran China perlu menubuhkan syarikat secara bersama, dengan 51% saham dipegang oleh pihak China. Namun berbeza kini, apabila mereka dibenarkan untuk menjadi pemegang saham terbesar bagi syarikat yang ditubuhkan di China.
Langkah-langkah yang diambil China tersebut bersesuaian dengan sikap kerajaan negara ini yang sentiasa terbuka selain menggalakkan pembangunan berkualiti tinggi dalam pelbagai sektor domestik. Ini kerana pelaburan asing dilihat telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan ekonomi China sejak beberapa dekad yang lalu, malah banyak membantu syarikat tempatan untuk berkembang dan mempunyai daya saing yang tinggi di pasaran antarabangsa.
Sudah tentu China terus mengalu-alukan modal asing untuk terus melabur di sini.
Jumlah syarikat pelaburan modal asing di China bertambah kepada 53,766 buah pada tahun 2023, iaitu meningkat 39.7% berbanding tahun sebelumnya. Bagaimanapun pelaburan langsung asing (FDI) mencatatkan penurunan sebanyak 13.7%, dengan nilai USD 163.3 bilion. Namun jumlah ini dilihat masih baik kerana nilai tersebut mencatat rekod sebagai ketiga tertinggi dalam sejarah.
Menurut sumber, FDI Global menurun 12% pada tahun 2022, bagaimanapun pada masa sama FDI China merekodkan peningkatan sebanyak 5%. Justeru penurunan FDI China pada 2023 merupakan penyelarasan semua modal di pasaran global yang mengalami situasi teruk pada 2022. Manakala penambahan syarikat baharu membuktikan keyakinan modal asing terhadap pasaran China.
Namun apa yang penting, FDI China bagi rantau Asia-Pasifik meningkat 37% pada tahun 2023, sekaligus menjadi penyumbang besar dalam membantu memulihkan FDI global yang seterusnya menyaksikan kenaikan sebanyak 3%.
Pencapaian ini diperoleh meskipun menghadapi sekatan yang semakin teruk dari Amerika Syarikat. Modal yang mengalir antara China dengan negara-negara lain telah membantu merapatkan dan memakmurkan pasaran global dan ini tidak mungkin diganggu dengan tindakan buli ekonomi yang dilakukan sebahagian negara tertentu.