Program Pertukaran Belia China-AS Bermula

2024-03-19 13:50:18  CRI
Share with:

Program Pertukaran Belia China-Amerika Syarikat (AS) diadakan di Beijing pada hari Isnin, diserikan dengan kehadiran Presiden Kumpulan Media China (CMG) Shen Haixiong dan Datuk Bandar Steilacoom Negeri Washington AS, Dick Muri.

Acara yang bertemakan "Sahabat yang datang dari jauh" itu dianjurkan bersama oleh CMG dan Persatuan Pertukaran Belia dan Pelajar AS-China.

Shen dalam acara itu berkata, tahun ini menandakan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan AS.

“Saya percaya bahawa melalui program lawatan pertukaran ini, para pelajar dapat melihat China dengan mata sendiri, mendengar suara China dengan telinga  sendiri, dan merasakan makanan China yang lazat dengan mulut sendiri.

“Saya juga percaya anda sekalian dapat menghayati dan mengenali China secara langsung dengan lebih mendalam,” kata beliau.   

Dick Muri pula berkata, Presiden China Xi Jinping ketika menghadiri jamuan alu-aluan yang dianjurkan bersama oleh pertubuhan persahabatan AS dalam rangka lawatan beliau di AS pada tahun lepas, pernah mengumumkan akan menjemput 50,000 remaja AS untuk menyertai program pertukaran dan pembelajaran ke China dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Saya mendengar ucapan Xi pada masa itu dan merasa bangga menjadi salah satu peserta kumpulan pertama dalam inisiatif ini.

“Saya dijemput datang ke China bersama dengan guru dan pelajar dari Lincoln Middle School dan Steilacoom Middle School.

“Saya berharap 24 orang pelajar sekolah menengah AS yang melawat China kali ini akan menghayati dan mengenali negara ini secara langsung dalam perjalanan lebih 10 hari, dan menjadi utusan persahabatan belia AS-China,” katanya.

Untuk rekod, sebagai agensi pelaksana utama inisiatif ini, Persatuan Pendidikan China untuk Pertukaran Antarabangsa ditugaskan menjemput guru dan pelajar dari Lincoln Middle School dan Steilacoom Middle School AS datang ke China untuk mengenali negara itu secara komprehensif dari segi sosiobudaya, sejarah, pendidikan, kebudayaan dan pembangunan teknologi dalam perjalanan ke bandar Beijing, provinsi Hubei dan Guangdong.