Dari Manakah Datangnya Momentum Pertumbuhan?
Di mata banyak syarikat asing, pasaran China adalah tidak boleh diganti. Mereka yakin terhadap momentum kukuh perkembangan ekonomi negara Tembok Besar.
Pengerusi Plymouth Rock Assurance Corporation Amerika Syarikat, James Stone dalam satu temu bual berkata sektor perubatan China akan terus berkembang pesat dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang sehingga menarik lebih banyak pelaburan asing.
Dari manakah datangnya momentum seumpama? Data Biro Statistik Negara (NBS) memberi jawapan.
Dalam tempoh Januari hingga Februari, nilai tambah bagi industri berskala besar menokok tujuh peratus tahun ke tahun, manakala pelaburan aset tetap menokok sebanyak 4.2 peratus.
Pada bulan Februari, indeks jangkaan aktiviti pengeluaran dan perniagaan mencapai 54.2 peratus dan indeks jangkaan bagi urus niaga industri perkhidmatan mencatat 58.1 peratus, masing-masing berada dalam julat ledakan.
Prestasi itu mencerminkan trend perkembangan ekonomi China ke arah baik dalam jangka panjang tidak berubah.
Suasana inovasi yang menebal antara faktor yang menarik kedatangan banyak syarikat asing untuk mengembangkan sayap mereka di China.
Untuk rekod, sebanyak 4,588 syarikat asing ditubuhkan di China pada Januari, meningkat 74.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Dalam dua bulan pertama tahun ini, sektor import dan eksport menyaksikan pertumbuhan sebanyak 8.7 peratus.
Jelasnya, terdapat semakin banyak faktor yang menyokong pemulihan ekonomi China.
Ditambah pula dengan kedinamikan pasaran serta keberanian syarikat domestik untuk melakukan inovasi, China mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi yang ditetapkan tahun ini sekali gus menyuntik tenaga kepada ekonomi global.